EXCO Kerajaan Negeri Ir Izham Hashim menjawab pertanyaan media selesai majlis penyerahan sumbangan kepada kebun komuniti di Seksyen 35, Shah Alam pada 13 Disember 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

ADN: Tiga sekolah DUN Pandan Indah terima bantuan prasarana

SHAH ALAM, 4 JAN: Sebanyak tiga sekolah di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pandan Indah menerima bantuan infrastruktur membabitkan peruntukan RM55,000.

Ahli dewan negerinya berkata RM30,000 daripada jumlah itu disalurkan kepada Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (Kafa) Integrasi Al-Huda, Sekolah Rendah Islam Integrasi Al-Imtar (RM15,000) serta Maahad Tahfiz Manbaul Huffaz (RM10,000).

“Sumbangan Kerajaan Negeri membolehkan sekolah terbabit menambah baik tahap prasarana seperti penyelenggaraan dewan, pembelian perkakas dan sebagainya.

“Diharap ia membantu menyediakan suasana pembelajaran yang lebih kondusif kepada pelajar,” kata Ir Izham Hashim dalam kenyataan menerusi Facebook.

EXCO Kerajaan Negeri berkata bantuan tersebut juga selari dengan keutamaan yang signifikan diperuntuk untuk pendidikan menerusi Belanjawan Selangor 2021.

Sebelum ini, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan dana RM22.473 juta kepada 740 sekolah di seluruh negeri itu.

Daripada jumlah itu, Sekolah Agama Rakyat (SAR) merupakan penerima terbesar sebanyak RM9.113 juta melibatkan 538 sekolah diikuti 101 Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) (RM6 juta), 83 Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) (RM4.36 juta), empat Sekolah Menengah Persendirian Cina (RM2 juta) serta 14 Sekolah Mubaligh dan Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (RM1 juta).

Difahamkan, kesemua sumbangan mula diagih sejak 2 November hingga 15 Disember tahun lalu.


Pengarang :