Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Agong isytihar darurat bendung pandemik Covid-19

SHAH ALAM, 12 JAN: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini berkenan mengisytiharkan Proklamasi Darurat untuk membendung pandemik Covid-19.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja berkata baginda memberi perkenan pelaksanaan darurat sehingga 1 Ogos 2021 atau sehingga suatu tarikh yang lebih awal.

“Perkenan ini turut mengambil kira keselamatan diri rakyat dan kepentingan negara.

“Ianya juga berdasarkan statistik semasa Covid-19, khususnya kekangan kemudahan-kemudahan logistik,” kata Dato’ Indera Ahmad Fadil Shamsuddin dalam kenyataan pagi ini.

Ahmad Fadil berkata perkenan itu mengambil kira rundingan Seri Paduka dengan Raja-Raja Melayu.

Menurutnya, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menyembah maklum keputusan Mesyuarat Jemaah Kabinet berhubung cadangan pelaksanaan Pengisytiharan Proklamasi Darurat ketika menghadap Al-Sultan Abdullah di Istana Negara pada 5.30 petang semalam (11 Januari) untuk membendung dan melandaikan kes positif Covid-19 harian yang kini mencecah empat angka.

Beliau berkata Seri Paduka memperhalusi penjelasan Perdana Menteri dan sembah taklimat daripada Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali, Peguam Negara Tan Sri Idrus Harun, Panglima Angkatan Tentera Tan Sri Affendi Buang, Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Datuk Abdul Ghani Salleh.

“Maka Al-Sultan Abdullah berpandangan bahawa penularan wabak Covid-19 di negara ini berada di tahap yang amat kritikal dan adanya keperluan Pengisytiharan Proklamasi Darurat berdasarkan Fasal (1) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Ahmad Fadil berkata perkenan Al-Sultan Abdullah berkenaan turut mengambil kira keselamatan diri rakyat dan kepentingan negara berdasarkan statistik semasa Covid-19, khususnya kekangan kemudahan-kemudahan logistik mengikut negeri-negeri yang dipersembahkan semasa sesi taklimat itu.


Pengarang :