Selangorkini
Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan meninjau keadaan banjir di Pahang melalui udara dengan menggunakan helikoter Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), pesawat EC725. Foto Facebook Istana Negara
AGENDA NASIONAL

Agong tinjau situasi banjir, lawat mangsa guna helikopter

KUANTAN, 7 JAN: Keprihatinan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah terhadap mangsa banjir di Pahang terus terserlah apabila Seri Paduka Baginda hari ini, meninjau keadaan banjir di negeri ini menggunakan helikopter Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Istana Negara dalam kenyataannya memaklumkan Seri Paduka Baginda yang menaiki pesawat EC725 berlepas dari Pangkalan Udara TUDM Kuantan, pada jam 9 pagi dengan diiringi Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

“Al-Sultan Abdullah dijadualkan mendarat di Kuala Lipis untuk menyantuni mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Clifford dan Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Chung Hwa.

“Selepas di Lipis, Yang di-Pertuan Agong akan ke Mentakab dan Temerloh juga bagi menyantuni mangsa banjir di di PPS Sekolah Menengah Kebangsaan Mentakab serta PPS Dewan Majlis Perbandaran Temerloh,” menurut kenyataan itu di sini, hari ini.

Al-Sultan Abdullah berangkat pulang dari Istana Negara pada Selasa lalu, bagi meninjau keadaan banjir Pahang dengan memandu sendiri kenderaan pacuan empat roda meredah banjir di Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1).

Daerah Maran yang teruk terjejas akibat banjir, menjadi lokasi pertama Al-Sultan Abdullah mencemar duli melawat mangsa banjir dengan diiringi Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah sebelum berangkat ke Kuantan.

– BERNAMA


Pengarang :