Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bersama Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan menyampaikan sumbangan kepada pemandu lori yang terkandas susulan kenaikan air banjir di Plaza Tol Karak, Lebuhraya Pantai Timur (LPT) pada 5 Januari 2021. Foto Facebook Istana Negara
AGENDANASIONAL

Agong zahir simpati terhadap mangsa banjir, seru hulur bantuan

KUALA LUMPUR, 5 JAN: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini menzahirkan rasa simpati kepada mangsa bencana banjir di beberapa negeri, khususnya di Pahang, Terengganu, Kelantan, Johor, Perak dan Selangor.

Dalam kenyataan Istana Negara hari ini, Seri Paduka turut menzahirkan harapan agar semua mangsa banjir tabah mengharungi dugaan dan musibah yang menimpa mereka.

Seri Paduka Baginda juga menyeru pihak berkuasa, khususnya Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), supaya terus menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir di negeri yang terjejas.

“Rakyat khususnya di kawasan rendah pula dinasihati untuk sentiasa berwaspada dan mengutamakan keselamatan diri, keluarga serta bersedia berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dengan segera jika diarahkan pihak berkuasa,” menurut kenyataan itu.

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah berkenan menyantuni pemandu lori yang terkandas susulan banjir di Plaza Tol Karak, Lebuhraya Pantai Timur (LPT) pada 5 Januari 2021. Foto Facebook Istana Negara

Mengambil kira kenaikan mendadak kes positif Covid-19 harian di negara ini, Seri Paduka Baginda menitahkan supaya aspek norma baharu dan tatacara operasi piawai (SOP) diamalkan semua petugas dan mangsa banjir serta menjadi keutamaan di semua PPS bagi membendung penularan wabak.

Sementara itu, Al-Sultan Abdullah hari ini berkenan mencemar duli mengadakan lawatan mengejut, bertemu mangsa banjir yang ditempatkan di empat PPS di Maran, Pahang (Sekolah Menengah Kebangsaan [SMK] Maran, Surau Kampung Jara, Sekolah Kebangsaan [SK] Kuala Sentul dan Masjid As Syakirin).

Kenyataan itu menyebut Seri Paduka turut berkenan meluangkan masa menyantuni mangsa banjir yang berada di PPS itu dan mengurniakan sumbangan kepada mereka bagi meringankan beban yang ditanggung.

“Al-Sultan Abdullah turut mengambil kesempatan ini menzahirkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Nadma, Kerajaan Negeri dan Pentadbiran Daerah serta agensi penyelamat dan jabatan kerajaan seperti polis, bomba, tentera, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Jabatan Kebajikan Masyarakat yang bertungkus lumus membantu rakyat setiap kali banjir,” kata kenyataan itu.

Selain itu, Seri Paduka Baginda mengajak seluruh rakyat mendoakan bencana banjir yang melanda beberapa negeri pada ketika ini tidak berpanjangan sehingga mengorbankan nyawa dan harta benda.

Hujan lebat sejak Sabtu lepas menyebabkan banjir di enam negeri – Johor, Pahang, Terengganu, Selangor, Kelantan dan Perak – dengan Johor dan Pahang terjejas teruk apabila ramai mangsa banjir terpaksa dipindahkan ke PPS.

-BERNAMA

 

 


Pengarang :