AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Air Selangor baiki paip pecah, 121 kawasan dijangka alami gangguan bekalan

SHAH ALAM, 8 JAN: Sebanyak 121 kawasan di Hulu Langat, Petaling dan Kuala Lumpur dijangka mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual sehingga esok, menurut Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor).

Ketua komunikasi korporatnya berkata gangguan itu susulan kerja pemasangan paip pembentungan oleh pihak ketiga pada 2 Januari lalu akibat kejadian paip pecah di Jalan Sering, Taman Sungai Sering, Cheras.

“Berikutan itu, Air Selangor perlu menjalankan kerja kecemasan bagi pembaikan paip pecah tersebut. Bagi memastikan kerja berjalan lancar, bekalan air di kawasan terlibat ditutup bermula jam 1 petang hari ini.

“Kerja pembaikan dijangka siap sepenuhnya pada 3 pagi esok, bekalan air akan mula disalurkan kepada pengguna setelah proses tersebut dilaksanakan,” kata Elina Baseri dalam kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, Air Selangor memaklumkan tempoh masa pemulihan bekalan air kepada pengguna adalah berbeza bergantung kepada lokasi dan jarak premis.

“Pengguna disaran menyimpan air secukupnya sebelum penutupan bekalan dan menggunakannya secara berhemat sepanjang tempoh gangguan tidak berjadual ini,” katanya.

Untuk maklumat lanjut, layari laman sesawang www.airselangor.com atau rujuk saluran komunikasi melalui Facebook, Instagram dan Twitter atau hubungi pusat perhubungan di talian 15300.


Pengarang :