AGENDANASIONAL

Aksem patah cubaan seludup cecair vape bernikotin RM1.8 juta

PADANG BESAR, 6 JAN: Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (Aksem) Perlis mematahkan cubaan menyeludup keluar 96,160 botal cecair vape bernikotin dianggarkan bernilai RM1.8 juta hari ini.

Komander Aksem Perlis DSP Rodzi Abu Hasan berkata hasil risikan selama tiga minggu, sekumpulan anggota penguat kuasa menahan sebuah lori tiga tan di Jalan Kaki Bukit, Padang Besar pada pukul 10.15 pagi tadi.

“Kita merampas 96 kotak berisi cecair vape bernikotin dan menahan seorang pemandu warga tempatan berusia 35 tahun,” katanya kepada pemberita hari ini.

Beliau berkata modus operandi yang digunakan oleh sindiket itu ialah membawa cecair berkenaan dari Kuala Lumpur ke negeri ini dan mengisytiharkannya sebagai minyak wangi.

Katanya sindiket menjadikan negeri ini sebagai tempat transit sebelum ianya diseludup ke negara jiran.

“Hasil risikan mendapati sindiket melakukan penyeludupan dengan kekerapan dua kali seminggu dan telah beroperasi selama lima bulan,” katanya.

Katanya cecair vape bernikotin pelbagai perisa buah-buahan itu dijual pada harga RM20.00 ke atas.

“Kita tidak menolak kemungkinan terdapat beberapa lagi kumpulan sindiket yang masih aktif dan Aksem akan terus melakukan siasatan dan tangkapan,” katanya.

Rodzi berkata hasil rampasan dan pemandu lori diserahkan kepada Pusat Penguatkuasaan Farmasi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk tindakan lanjut.

Katanya kes itu disiasat mengikut Seksyen 13 Akta Racun 1952 dan jika sabit kesalahan boleh dihukum mengikut Seksyen 32(2) Akta yang sama iaitu denda tidak melebihi RM3,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya.

-BERNAMA

 


Pengarang :