Aliran trafik sesak namun masih terkawal ketika tinjauan fotoBernama sempena cuti umum tahun baru 2021 di Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 Kuala Lumpur (MRR2) dekat Ampang pada 1 Januari 2021. Foto: BERNAMA
AGENDA NASIONAL

Aliran trafik dijangka meningkat Ahad ini

KUALA LUMPUR 2 JAN: Aliran trafik di lebuh raya utama seluruh negara dijangka mengalami peningkatan pada Ahad ini berikutan orang ramai mula kembali ke ibu kota daripada bercuti dan pulang dari kampung halaman masing-masing.

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman Datuk Mohd Nadzri Hussain berkata buat masa ini, aliran trafik di seluruh negara terkawal dan lancar.

“Aliran (trafik) ketika ini adalah lancar dan tiada halangan (terkawal).

“Kami menjangkakan pertambahan aliran pada 3 Jan ini dengan mengambil kira tarikh terakhir untuk kembali bertugas selepas cuti panjang,” katanya kepada Bernama semalam.

Beliau turut menasihati pengguna jalan raya agar memastikan kenderaan yang dipandu berada dalam keadaan baik.

“Patuhi undang-undang lalu lintas (dan) buat perancangan pergerakan. Patuhi tatacara operasi piawai (SOP) dan memandu serta menungganglah secara berhemah,” katanya.

Mohd Nadzri turut mengingatkan pemandu untuk memastikan mereka tidak berada di bawah pengaruh alkohol atau apa-apa bahan terlarang ketika memandu dan berhenti rehat sekiranya mengantuk.

– BERNAMA


Pengarang :