Selangorkini
Keadaan Kampung Laut di Batu 10 Skudai dari atas yang diambil di parkir kereta Tingkat 4, Skudai Parade pada 2 Januari 2021. Foto: BERNAMA
AGENDA ALAM SEKITAR & CUACA NASIONAL

Amaran cuaca bahaya beberapa kawasan Pahang, Johor

KUALA LUMPUR, 3 JAN: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) hari ini mengeluarkan amaran cuaca bahaya dan buruk, dengan hujan lebat berterusan di beberapa kawasan di Pahang dan Johor.

MetMalaysia dalam kenyataan memaklumkan amaran cuaca bahaya dengan hujan lebat berterusan dijangka berlaku hari ini di daerah Pekan dan Rompin di Pahang, manakala di Johor melibatkan daerah Mersing.

Menurut kenyataan itu, amaran cuaca buruk dengan hujan lebat berterusan pula melibatkan daerah Raub, Bentong, Temerloh, Maran, Kuantan dan Bera di Pahang, serta Segamat dan Kluang di Johor.

Amaran cuaca waspada dengan hujan lebat sehingga esok pula dikeluarkan bagi Kelantan, Terengganu, Pahang (Tanah Tinggi Cameron, Lipis dan Jerantut) dan Johor (Tangkak dan Muar).

“Amaran cuaca waspada dengan hujan lebat juga dijangka berlaku di Batu Pahat, Pontian, Kulai, Kota Tinggi dan Johor Bahru sehingga hari ini,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, kebanyakan kawasan di negeri pantai barat Semenanjung, Sarawak dan lain-lain kawasan di Sabah dijangka mengalami kejadian ribut petir, hujan lebat dan angin kencang terutamanya pada waktu petang sehingga awal malam dan keadaan ini berpotensi menyebabkan banjir kilat.

MetMalaysia juga meramalkan angin kencang timur laut berkelajuan melebihi 60km/jam dengan ombak melebihi 4.5 meter dijangka boleh berlaku di perairan negeri Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor Timur dalam tempoh tersebut.

“Di perairan Sarawak, Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, angin kencang timur laut berkelajuan sehingga 60 km/jam dengan ombak sehingga 4.5 meter dijangka boleh berlaku dalam tempoh sama, dan kejadian ini boleh mendatangkan risiko limpahan air laut di pesisir pantai dan muara sungai kawasan terbabit,” menurut kenyataan itu.

– BERNAMA

Sumber Grafik: METMalaysia

Pengarang :