Foto Instagram Abdul Karim Almakki
AGENDANASIONAL

Antara hidup dan mati, imam cerita pengalaman perit dijangkiti virus

SHAH ALAM, 20 JAN: Batuk luar biasa, sesak nafas dan tiada selera makan antara kesan dialami imam Masjid Negeri Selangor selepas disahkan positif Covid-19.

Abdul Karim Omar berkata simptom itu dialami meskipun dirinya bukan seorang perokok dan tiada penyakit asma seumur hidup, lapor Astro Awani.

Beliau yang kini menjalani rawatan di Hospital Sungai Buloh menyifatkan situasinya antara hidup dan mati setelah terlihat katil bercadar putih di hadapannya.

“Saya sendiri lalui kuarantin, antara hidup dan mati. Saya sudah nampak alam lain pula yang akan datang depan saya tetapi dengan izin Allah dan berkat doa serta al-Quran, saya pulih semula,” katanya.

Bagaimanapun, Abdul Karim bersyukur apabila keadaan kesihatannya bertambah baik dan dibenarkan pulang ke rumah dalam masa beberapa hari.

Beliau turut menitipkan pesan kepada orang ramai supaya tidak memandang enteng wabak Covid-19 dan mengamalkan tatacara operasi piawai (SOP) ketat bagi mengelak jangkitan virus.

“Jangan kita sambil lewa dengan Covid-19. Wabak ini tidak kenal tok imam, menteri sesiapa pun, bila takdir kata Kun Faya Kun, maka jadilah kita seorang hamba yang dijangkiti,” pesannya.


Pengarang :