AGENDANASIONAL

Anwar: 114 atau 115 ahli parlimen setuju sidang Parlimen segera

SHAH ALAM, 23 JAN: Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa seramai 114 atau 115 ahli parlimen bersetuju sidang Parlimen dilaksanakan segera untuk menyelesaikan isu Covid-19 dan ekonomi.

Ketua pembangkang berkata sokongan tersebut mencapai jumlah majoriti diperlukan untuk menolak usul kerajaan Perikatan Nasional (PN) melaksana darurat dan menggantung Parlimen.

“Keputusan sokongan 94 ahli parlimen PAKATAN sekarang utuh manakala empat ahli parlimen lagi dari Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) menyokong. Selain itu sokongan turut diberikan ahli parlimen dari
Parti Warisan Sabah (Warisan).

“Sekarang Gabungan Parti Sarawak (GPS) sedang membincangkannya dan saya tidak tahu keputusannya tetapi jika berlaku, yang sokong gantung Parlimen tidak sampai 90 ahli parlimen,” katanya.

Beliau berkata pada Program Bicara Negarawan bertajuk ‘Masa Depan Malaysia: Ke Mana Kita?’ anjuran Majlis Profesor Negara di Kuala Kumpur hari ini.

Ahli Parlimen Port Dickson berkata perubahan kepimpinan negara dibangkitan untuk memastikan kerajaan yang memimpin negara lebih stabil dan kukuh.

“Saya hanya mampu menyampaikan dan akan mempersembah kepada Yang di-Pertuan Agong, jumlah mencukupi tetapi kena tunggu ihsan dan budi bicara baginda untuk mendapat maklumat berikutnya.

“Tidak ada negara yang umumkan darurat atasi masalah Covid-19 sehingga terpaksa menggantung Parlimen,” katanya.

Pada 12 Januari PAKATAN menolak alasan pengisytiharaan darurat dibuat Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk mengekang penularan Covid-19 dan menggantung sidang Parlimen yang merencatkan
sistem demokrasi negara.

Majlis Presiden berkata undang-undang sedia ada termasuk pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mencukupi untuk mengumpul segala sumber serta kekuatan untuk mencegah wabak.


Pengarang :