AGENDANASIONAL

Anwar: Betulkan segera isu moratorium, jangan ambil mudah

SHAH ALAM, 2 JAN: Kerajaan Persekutuan digesa segera membetulkan isu moratorium pinjaman sewa beli kenderaan yang hanya membebankan rakyat.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pelbagai syarat dikenakan merumitkan keadaan sekali gus tidak membantu masyarakat yang terjejas akibat wabak Covid-19.

“Saya mengambil maklum keluhan ramai terutamanya melibatkan isu moratorium pinjaman sewa beli kenderaan yang didapati hanya janji dan harapan palsu oleh kerajaan Perikatan Nasional.

“Sebagai kerajaan yang kononnya peduli dan prihatin terhadap nasib rakyat susah, tidak wajar perkara ini dipandang enteng dan diambil mudah,” kata ketua pembangkang dalam kenyataan hari ini.

Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) berkata semua kenyataan dibuat Menteri Kewangan (Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz) ketika penggulungan Belanjawan 2021 lalu sukar dipercayai.

Jelasnya, terutama melibatkan pengeluaran akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), moratorium dan juga projek mega Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR).

“Kerajaan perlu memperincikan jumlah pampasan yang terpaksa dibayar Malaysia dan pembayar cukai akibat pembatalan projek HSR.

“Jika benar seperti dilaporkan, ini secara tidak langsung telah mendedahkan lagi kelemahan mereka dalam membuat sebarang keputusan besar kepada negara dan rakyat,” katanya.

Tambah Anwar, ketidakstabilan kerajaan hari ini juga memberi imej buruk sekali gus membuatkan negara luar tidak yakin untuk berunding atau membuat sebarang persetujuan dengan Malaysia.

“Ia memberi petunjuk bahawa kerajaan hari ini tidak boleh digantung harap. Perkembangan itu memburukkan keadaan tatkala negara dan rakyat masih bergelut dengan situasi ekonomi pandemik saat ini,” katanya lagi.


Pengarang :