Selangorkini
AGENDA NASIONAL

Anwar gesa kerajaan bincang dengan pakar kesihatan, ekonomi

SHAH ALAM, 28 JAN: Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa kerajaan mengadakan perbincangan dengan pakar kesihatan dan ekonomi untuk memantapkan usaha mengekang Covid-19.

Ketua pembangkang berkata kerajaan perlu bersikap terbuka mendengar pandangan pakar demi kepentingan rakyat terutama sebelum melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Kita berharap kerajaan berbincang dengan pakar kesihatan, ekonomi atau wakil perusahaan kecil sederhana (PKS) untuk mengimbangi aspek kesihatan dan ekonomi kerana kita tidak mahu rakyat kelaparan.

“Saya berulang kali membangkitkan pada sidang Parlimen, apa salahnya mendengar pandangan pihak lain dan selepas itu terpulang kepada kerajaan untuk terima atau tidak,” katanya pada program Bicara
Covid-19 menerusi Facebook malam tadi.

Ahli parlimen Port Dickson menyifatkan perancangan kerajaan untuk mencegah penularan Covid-19 dilakukan dalam keadaan kelam-kabut.

“Tindakan kerajaan tidak konsisten, sekejap PKP sekejap PKP Bersyarat malah kita gagal tangani isu penularan di tempat kerja atau asrama pekerja,” katanya.


Pengarang :