Petugas Pejabat Kesihatan Kuala Langat mengambil sampel saringan Covid-19 ke atas seorang warga asing di Pangsapuri Langat Utama, Kuala Langat pada 1 Jun 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Anwar gesa kerajaan segera umum langkah cegah Covid-19

SHAH ALAM, 11 JAN: Kerajaan perlu segera mendedahkan strategi bagi membendung penularan Covid-19 berikutan sistem kesihatan negara semakin tenat.

Ketua pembangkang berkata perancangan tersebut antara lain perlu memastikan ekonomi terus bergerak seiring usaha mencegah penularan wabak.

“Jangkaan Kementerian Kesihatan Malaysia kemungkinan negara merekodkan sebanyak 8,000 kes harian sangat membimbangkan,” kata Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam kenyataan hari ini.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada Program Town Hall Anak Muda Keadilan (AMK) di Hotel Grand Paragon, Johor Bahru pada 20 April 2019. Foto BERNAMA

“Saya menggesa setiap kita untuk mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) setiap masa bagi melindungi diri, keluarga, rakan sejawat dan teman dari wabak ini.”

Beliau mengingatkan pemimpin politik untuk meningkatkan disiplin dan keprihatinan kepada rakyat yang tidak menerima layanan istimewa.

Anwar turut menzahirkan penghargaan kepada petugas hadapan yang komited menjalankan tugas meskipun terdedah kepada wabak.

“Pengorbanan mereka pada negara dan rakyat tidak kecil nilainya dan wajar disanjungi,” katanya.

Pada masa sama, presiden Pakatan Harapan turut mendoakan kesembuhan Datuk Seri Mustapa Mohamed, Datuk Rina Mohd Harun dan semua yang dijangkiti Covid-19.


Pengarang :