Pelarian Rohingya turun dari bot selepas menyeberangi sempadan Bangladesh-Myanmar melalui Teluk Benggala, di Shah Porir Dwip, Bangladesh 11 September 2017. Foto REUTERS
AGENDANASIONAL

APMM: Sindiket transit pelarian Rohingya di Aceh sebelum masuki Malaysia

KUALA LUMPUR, 29 JAN: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) memberi tumpuan kepada pemantauan semua jenis bot yang melalui perairan negara dari Indonesia bagi menyekat kemasukan pendatang tanpa izin termasuk pelarian Rohingya ke Malaysia.

Ketua Pengarah APMM Laksamana Maritim Datuk Mohd Zubil Mat Som berkata sindiket membawa masuk pendatang tanpa izin ke dalam negara disyaki menggunakan bot nelayan, bot kecil dan bot perdagangan tukar barang.

Beliau berkata antara taktik yang digunakan sindiket dari Indonesia dan Malaysia untuk membawa masuk pendatang tanpa izin termasuk pelarian Rohingya ialah memuatkan mereka dalam bot kecil di kawasan sempadan sebelum mereka dibawa ke daratan.

“Pelarian Rohingya sering menjadikan negara ini sebagai destinasi akhir berdasarkan hasil siasatan kes penyeludupan pendatang tanpa izin di utara tanah air pada awal tahun lepas.

“Kita tahu mereka akan meneruskan perjalanan ke Malaysia kerana keluarga mereka telah berada di sini dan akan menggunakan pelbagai cara serta helah untuk sampai ke negara ini,” katanya kepada Bernama hari ini.

Mohd Zubil berkata, semua pintu masuk dan lorong tikus di kawasan persempadanan negara dikawal ketat menyebabkan sindiket pendatang tanpa izin Rohingya ini mengubah destinasi mereka ke Aceh, Indonesia dan menjadikan Aceh sebagai pusat transit.

Katanya, APMM sentiasa bersedia bagi menyekat kemasukan pendatang tanpa izin ke negara ini dengan menempatkan aset termasuk sistem Pengawasan Maritim Laut Malaysia (SWASLA) di lokasi strategik.

Beliau mengulas laporan mengenai ratusan etnik Rohingya hilang dari kem pelarian di Indonesia dan dipercayai diseludup masuk ke Malaysia.

Katanya, APMM sentiasa bekerjasama dengan Angkatan Tentera Malaysia dan Polis Diraja Malaysia serta semua aset di bawah Pasukan Petugas Kebangsaan (NTF) menerusi Op Benteng untuk mengawal ketat kemasukan Rohingya dan pendatang tanpa izin dari negara jiran yang lain.

-BERNAMA


Pengarang :