Anggota Polis dan tentera membuat pemeriksaan di sekatan jalan raya (SJR) pada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan bermula 13 Januari sehingga 26 Januari 2021 berhampiran susur keluar di Tol Subang ke Lebuhraya Utara-Selatan. Foto: BERNAMA
AGENDANASIONAL

ATM boleh tahan, ambil tindakan pesalah ingkar PKP – menteri

KUALA LUMPUR, 14 JAN: Pegawai dan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kini mempunyai bidang kuasa menahan dan mengambil tindakan terhadap mereka yang didapati melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata di bawah pelaksanaan Ordinan Darurat, bidang kuasa tentera dan polis adalah sama dan ini akan memudahkan pengurusan Covid-19 dengan lebih baik.

“Kalau dahulu ATM hanya boleh ambil tindakan kalau ada kegiatan rentas sempadan di jalan tikus, sekarang mereka boleh menahan suspek untuk tindakan lanjut tanpa menunggu kehadiran polis,” katanya dalam sidang media perkembangan PKP di sini hari ini.

Beliau berkata ia akan berkuat kuasa sepanjang tempoh Ordinan Darurat dilaksanakan sehingga Ogos depan.

Pada Selasa, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memberi perkenan Pengisytiharan Proklamasi Darurat yang dilaksanakan sehingga 1 Ogos sebagai langkah proaktif membendung wabak Covid-19 di negara ini.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak akan berkompromi dan tindakan tegas bakal diambil terhadap mereka yang mahu merentas negeri terutamanya di kawasan PKP bermula Sabtu ini.

Beliau berkata kompaun akan dikenakan secara terus di lapangan kerana melanggar perintah ditetapkan.

“Bagi tempoh tiga hari sehingga esok, kita (kerajaan) masih dalam ‘mood’ memberi nasihat dan tiada tindakan dikenakan. Tetapi selepas esok, polis tidak akan berkompromi lagi,” katanya.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini mengumumkan pelaksanaan PKP di enam negeri iaitu Pulau Pinang, Selangor, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan), Melaka, Johor dan Sabah untuk tempoh 14 hari bermula 13 hingga 26 Jan.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata negeri lain di bawah PKP Bersyarat (PKPB) dan PKP Pemulihan (PKPP) boleh dikenakan PKP sekiranya Kementerian Kesihatan (KKM) mendapati ada peningkatan mendadak kes Covid-19.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata ketua jabatan perkhidmatan awam perlu mempertimbangkan sistem penggiliran dan bekerja dari rumah (BDR) kepada ibu bapa yang bekerja dalam perkhidmatan perlu supaya dapat memantau anak-anak di peringkat sekolah rendah semasa pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara dalam talian.

– BERNAMA


Pengarang :