Seorang lelaki menggunakan bot meredah banjir untuk ke jalan utama berikutan jalan itu terputus ketika tinjauan di Kampung Seberang Tayur pada 4 Januari 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

ATM kerah anggota, gerak aset bantu mangsa banjir di enam negeri

KUALA LUMPUR, 5 JAN: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) hari ini mula mengatur gerak seramai 4,983 pegawai dan anggota tentera berserta 1,015 aset dalam Op Murni bagi membantu mangsa banjir di enam negeri yang terjejas teruk.

Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata enam negeri iaitu Johor, Pahang, Terengganu, Selangor, Kelantan dan Perak dilanda bah sejak akhir minggu lepas, dan kini melibatkan pemindahan 22,699 mangsa banjir di 282 pusat pemindahan.

Beliau berkata 4,983, pegawai dan anggota tentera yang diatur gerak itu adalah bagi membantu memindahkan mangsa banjir, selain memasang jambatan jenis ‘bailey bridge’ bagi menghubungkan jalan kampung yang terputus akibat bencana tersebut dengan pusat bandar.

Aset ATM yang digerakkan melibatkan 800 trak pelbagai saiz, 197 pelbagai bot, 10 jambatan bailey bridge, enam helikopter dan dua pesawat pengangkut, katanya pada sidang media mengenai atur gerak ATM dalam Op Murni Bantuan Pengurusan Bencana Banjir, di Wisma Pertahanan.

Beliau berkata ATM juga mengatur gerak sebahagian trup dan asetnya ke negeri-negeri terjejas teruk iaitu iaitu daripada Batalion 12 Rejimen Askar Melayu Diraja di kawasan tanggungjawab di Pahang iaitu Kuantan dan Maran, manakala Rejimen Pertama Kor Armor Diraja di kawasan Pekan dan Rompin.

Beliau berkata di Johor pula, trup Batalion 10 Rejimen Askar Melayu Diraja dihantar ke tujuh daerah terjejas iaitu Pontian, Batu Pahat, Kota Tinggi, Mersing, Kulai, Kluang dan Johor Bahru, manakala Rejimen 33 Artileri Diraja diatur gerak ke Kota Tinggi.

Sementara itu, ditanya sama ada terdapat tatacara operasi piawai (SOP) di pusat pemindahan banjir, Ismail Sabri berkata setiap pusat pemindahan banjir mempunyai SOP.

“Kami ‘alert’ dengan situasi semasa Covid-19 yang terkini, oleh itu orang ramai tidak perlu bimbang kerana cara memindahkan orang tua yang uzur ketika banjir juga mempunyai SOP,” katanya

Turut hadir Panglima ATM Jen Tan Sri Affendi Buang, Panglima Tentera Darat Jen Tan Sri Zamrose Mohd Zain, Panglima Tentera Udara Jen Tan Sri Ackbal Abdul Samad dan Panglima Tentera Laut Laksamana Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany.

-BERNAMA


Pengarang :