Grafiti cahaya dengan berlatar belakangkan bangunan Istana Kehakiman menjelang ambang tahun baharu 2021 di dalam suasana norma baharu bagi membendung penularan Covid-19. Foto: BERNAMA
AGENDANASIONAL

Badan kehakiman tumpu pendigitalan proses pengakuan salah lalu lintas pada 2021

KUALA LUMPUR, 1 JAN: Bermula 2021, badan kehakiman merancang untuk membenarkan tertuduh dalam kes kesalahan lalu lintas membuat pengakuan bersalah melalui surat tanpa kehadiran di mahkamah.

Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat dalam satu kenyataan sempena tahun baharu 2021 berkata cadangan itu akan diperkenalkan bagi mengurangkan kesesakan dan meningkatkan akses kepada keadilan serta kecekapan Mahkamah Majistret dengan mengambil kira bilangan kes yang terlalu tinggi dan mengambil banyak masa kehakiman yang mewajarkan ia dilupuskan secara pendigitalan.

Beliau berkata Rancangan Badan Kehakiman untuk 2021 ialah mendigitalkan proses pengakuan bersalah dalam kes kesalahan lalu lintas dan membenarkan pembayaran denda secara elektronik.

“Pada masa ini, terdapat mekanisme dalam Seksyen 137 Kanun Tatacara Jenayah yang membolehkan seseorang yang dituduh untuk mengaku bersalah melalui surat tetapi peruntukan ini jarang digunakan dan statistik terkini menunjukkan tiada sebarang pengakuan bersalah dibuat melalui surat.

“Sebagai tambahan kepada kaedah pengakuan bersalah melalui surat, badan kehakiman juga mengesyorkan untuk membenarkan penerimaan pengakuan bersalah dan proses menjatuhkan hukuman denda sahaja melalui sistem elektronik yang ditetapkan,” katanya sambil menambah kaedah itu telah dilaksanakan di beberapa negara seperti Singapura, England, Wales dan Australia.

Tengku Maimun berkata pendigitalan kes kesalahan lalu lintas akan menjadi pelengkap kepada sistem e-Jamin iaitu satu sistem yang membolehkan pembayaran jamin secara dalam talian.

“Sistem e-Jamin telah pun beroperasi sepenuhnya yang mana tertuduh boleh menjelaskan bayaran jamin secara dalam talian. Kita juga telah mengembangkan sepenuhnya e-Courts Finance yang merupakan kaedah pembayaran secara dalam talian dan tanpa tunai ke seluruh Semenanjung Malaysia dan bagi negeri Sabah dan Sarawak, sistem ini akan siap pada akhir 2021,” katanya.

Rentetan pelaksanaan pendigitalan sistem pengakuan bersalah itu, beliau berkata badan kehakiman turut bercadang untuk menggabungkannya dengan teknologi kecerdasan buatan (AI) sebagai garis panduan penghukuman.

“Mahkamah Rendah di Sabah dan Sarawak telah menerajui integrasi penggunaan AI dalam menjatuhkan hukuman untuk kesalahan tertentu. Bagi memastikan keselarasan dalam menjatuhkan hukuman, kita berusaha untuk melakukan perkara yang sama di Semenanjung Malaysia bagi kes-kes tertentu dan kita berhasrat untuk menggabungkannya dengan sistem pengakuan bersalah melalui teknologi AI.

“Projek ini sedang dalam proses untuk dilaksanakan pada akhir tahun 2021 tertakluk kepada wujudnya undang-undang berhubung sistem pengakuan bersalah secara elektronik tersebut,” menurutnya dalam kenyataan yang dikeluarkan Unit Komunikasi Korporat, Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan hari ini.

Tengku Maimun juga berkata beliau mengambil maklum kerisauan yang dibangkitkan Majlis Peguam dalam menjalankan perbicaraan secara dalam talian seperti kebarangkalian wujudnya ‘bimbing saksi.’

“Pada masa ini, kita mempunyai peruntukan baharu yang dimasukkan sebagai Aturan 33A dalam Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012 dan telah berkuat kuasa bermula 15 Dis 2020. Aturan tersebut mengandungi tatacara khusus mengenai bagaimana perbicaraan dalam talian dijalankan.

“Bahkan sebelum Aturan 33A berkuat kuasa, Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur telah pun berjaya menjalankan pemeriksaan terhadap saksi secara dalam talian,” katanya sambil menambah badan kehakiman perlu bergerak sejajar dengan perkembangan semasa.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata sebanyak 11,970 daripada 21,744 kes dan rayuan berjaya dilupuskan melalui perbicaraan dalam talian yang dikawal selia oleh badan kehakiman sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan di negara ini, yang bermula pada Mac lepas.

“Mahkamah Tinggi di Malaya (Semenanjung Malaysia) dan di Sabah serta Sarawak telah berjaya melupuskan sebanyak 75 peratus iaitu 5,663 kes daripada 7,544 kes yang ditetapkan untuk perbicaraan dalam talian.

“Sebanyak 484 daripada 1,122 rayuan yang ditetapkan untuk pendengaran dalam talian berjaya dilupuskan di Mahkamah Rayuan manakala di Mahkamah Persekutuan pula, sebanyak 164 daripada 345 kes telah dilupuskan termasuk rayuan sivil dan jenayah.

“Di Mahkamah Rayuan, sebanyak 484 daripada 1,122 rayuan yang ditetapkan untuk pendengaran dalam talian telah dilupuskan. Bagi Mahkamah Majistret dan Mahkamah Sesyen di seluruh Malaysia pula, sebanyak 5,659 daripada 12,733 kes yang ditetapkan untuk pendengaran dalam talian telah dilupuskan,” katanya.

Dalam pada itu, Tengku Maimun berkata tradisi badan kehakiman yang menganjurkan Pembukaan Tahun Perundangan pada setiap tahun tidak dapat diadakan pada 2021 berikutan penularan pandemik Covid-19.

“Cabaran utama yang timbul akibat pandemik ini adalah untuk memastikan bahawa pentadbiran kehakiman tidak terhenti walaupun langkah-langkah sekatan diambil kerajaan untuk mengawal penyebaran pandemik tersebut.

“Justeru, badan kehakiman mengambil pelbagai usaha penting ini untuk memastikan kelancaran prosiding undang-undang meskipun terdapat pelbagai kekangan,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :