AGENDANASIONAL

Banci 2020 fasa kedua di lapangan mulai 20 Jan – 6 Feb

PUTRAJAYA, 7 JAN: Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020 (Banci 2020) fasa kedua akan dilaksanakan secara temu ramah bersemuka mulai 20 Jan sehingga 6 Feb depan.

Pesuruhjaya Banci 2020 Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata ia akan dilaksanakan mengikut tatacara operasi piawai (SOP) Operasi Pembancian di Lapangan Banci 2020 yang dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Katanya, Banci 2020 fasa kedua itu juga akan mengambil kira kawasan yang terjejas berikutan bencana banjir dengan penyesuaian operasi pembancian akan dilaksanakan bagi memastikan semua penduduk Malaysia dibanci.

Prapelaksanaan fasa kedua Banci 2020 itu melibatkan aktiviti semakan di lapangan dan penyenaraian tempat kediaman di kawasan terpilih termasuk urusan logistik telah pun dimulakan, katanya dalam satu kenyataan hari ini.

“Pegawai banci yang berada di lapangan akan juga membantu orang ramai untuk melengkapkan pengisian e-Census dan menyelesaikan bancian kawasan berkenaan,” katanya menambah pelaksanaan fasa kedua itu melibatkan 43,000 pegawai banci yang akan dilantik di seluruh negara.

Permohonan bagi pengisian jawatan sebagai pegawai banci masih dibuka dan orang awam yang berkelayakan dipelawa untuk mengisi jawatan tersebut dengan merujuk kepada Jabatan Perangkaan Negeri berdekatan, katanya.

“Sokongan dan kerjasama daripada semua penduduk kepada pegawai banci amat diharapkan bagi menjayakan Banci 2020 dalam memastikan tiada yang ketinggalan demi masa depan negara dan kemakmuran bersama,” katanya.

Banci 2020 bermula sejak 7 Julai 2020 dengan pendekatan banci dalam talian (e-Census) dan kaedah Temu Ramah Melalui Telefon atau (Computer Assisted Telephone Interview-CATI).

Berdasarkan respons, Mohd Uzir berkata seramai 8.5 juta atau 26.1 peratus daripada anggaran 32.7 juta penduduk Malaysia telah direkodkan dalam Banci 2020 fasa pertama.

Beliau berkata terdapat 320,000 isi rumah yang melibatkan 1.2 juta penduduk telah mendaftar di platform e-Census, namun masih belum melengkapkan pengisiannya.

– BERNAMA


Pengarang :