Keadaan banjir di Kampung Selisek, Hulu Selangor pada 3 Januari 2021. Foto Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.
BERITA UTAMASELANGOR

Banjir di Hulu Selangor, 84 mangsa dipindah ke PPS

SHAH ALAM, 3 JAN: Seramai 84 mangsa banjir dari empat kampung di Hulu Selangor dipindahkan ke pusat penempatan sementara (PPS) di Dewan Orang Ramai Kampung Sungai Selisek selepas rumah mereka dinaiki air berikutan hujan berterusan sejak awal pagi tadi.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor berkata kampung terlibat ialah Kampung Masjid, Kampung Sekolah, Kampung Paya Lebar dan Kampung Sungai Nilam.

“Pihak bomba terima panggilan mengenai laporan kejadian banjir  jam 4.07 petang tadi. Pasukan penyelamat dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kubu Bharu dengan kekuatan 10 anggota tiba di lokasi jam 5.11 petang untuk memindahkan mangsa,” kata Norazam Khamis dalam kenyataan.

Menurutnya, susulan kejadian itu satu jentera Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan, pacuan empat roda dan bot penyelamat dihantar ke lokasi.

Beliau berkata jumlah mangsa dijangka bertambah malam ini kerana hujan berterusan dan paras air banjir yang semakin meningkat di Kampung Selisek.

Pihak bomba akan terus memantau dan mengambil tindakan kejadian banjir yang berlaku dan menyalurkan maklumat terkini dari semasa ke semasa.


Pengarang :