Seorang penduduk meredah air menggunakan motosikal untuk melakukan kegiatan harian ketika tinjauan di Kampung Kebun Pisang, Kuala Krai pada 18 Disember 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Banjir di Terengganu, Kelantan bertambah buruk

KUALA LUMPUR, 7 JAN: Keadaan banjir di Terengganu dan Kelantan semakin buruk dengan menyaksikan peningkatan mendadak mangsa dipindahkan ke pusat-pusat pemindahan petang ini, manakala Pahang dan Johor, beransur pulih dengan jumlah mangsa terus berkurangan.

Di TERENGGANU, Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Lt Kol (PA) Che Adam A. Rahman memaklumkan jumlah mangsa banjir terus meningkat kepada 8,138 orang setakat 3 petang ini berbanding 5,243 orang pada 8 pagi tadi.

“Empat daerah dilanda banjir ketika ini iaitu Kemaman yang menempatkan mangsa paling ramai dengan 6,711 orang diikuti Dungun (1,159); Hulu Terengganu (174) dan Besut (94),” katanya kepada pemberita hari ini.

Dalam pada itu, Jabatan Pengairan dan Saliran melaporkan stesen bacaan enam sungai di empat daerah melepasi paras bahaya iaitu Sungai Kemaman di Rumah Pam Paya Paman setinggi 6.81 m (paras bahaya 4 m) dan Sungai Tebak di Kampung Tebak setinggi 18.61 m (paras bahaya 18.5 m).

Sungai-sungai lain yang turut mencatat bacaan melebihi paras bahaya ialah Sungai Telemong di Kuala Ping setinggi 19.86 m (bahaya 19.7 m); Sungai Berang di Menerong (24.61 m/bahaya 24.5 m); Sungai Besut di Jambatan Keruak (36.36 m/bahaya 35 m); dan Sungai Dungun di Pasir Raja (37.51 m/bahaya 37.5 m).

Di KELANTAN, jumlah mangsa banjir membabitkan lima jajahan di negeri itu semakin meningkat petang ini apabila seramai 5,896 mangsa daripada 1,520 keluarga ditempatkan di 74 pusat pemindahan berbanding 4,829 mangsa daripada 1,287 keluarga pagi tadi.

Menurut aplikasi Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), jajahan Kuala Krai merekodkan penduduk yang terjejas teruk seramai 2,611 orang daripada 639 keluarga ditempatkan di 37 pusat pemindahan, manakala di Jeli seramai 1,060 orang daripada 288 keluarga dan di Tanah Merah 488 mangsa daripada 131 keluarga.

Mereka yang dipindahkan di Pasir Mas pula ialah 896 orang daripada 276 keluarga dan di Gua Musang seramai 841 orang daripada 186 keluarga.

Di PAHANG, negeri yang terjejas teruk dalam bencana kali ini menyaksikan pengurangan jumlah mangsa di pusat-pusat pemindahan petang ini iaitu seramai 23,105 orang daripada 6,267 keluarga masih berada di 278 pusat pemindahan, berbanding 24,257 orang di 281 pusat pemindahan pagi tadi.

Situasi sama turut berlaku di JOHOR apabila jumlah mangsa banjir terus menunjukkan penurunan dengan merekodkan seramai 2,260 orang daripada 559 keluarga petang ini, berbanding 2,313 daripada 575 keluarga pagi tadi.

Di PERAK pula, sejumlah 448 mangsa banjir daripada 131 keluarga melibatkan tiga daerah masih ditempatkan di lima pusat pemindahan setakat pukul 2 petang ini iaitu di daerah Hilir Perak 409 orang; Kampar (23 orang); dan daerah Hulu Perak (16 orang).

Di SABAH, banjir di Beaufort menyaksikan 35 orang dipindahkan ke pusat pemindahan di Dewan Datuk Seri Panglima Mohd Dun Banir di Beaufort petang ini, bertambah seorang berbanding pagi tadi.

– BERNAMA


Pengarang :