Beberapa pengemudi bot dilihat menggunakan kemudahan itu untuk menyampaikan bantuan selain menjadi sumber pengangkutan utama pada musim banjir sewaktu tinjauan sekitar bandar Temerloh, Pahang pada 10 Januari 2021. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Banjir semakin pulih, mangsa terus dapat bantuan

KUALA LUMPUR, 12 JAN: Bencana banjir nampak semakin beransur pulih apabila semua Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Terengganu serta Perak ditutup selepas semua mangsa banjir yang berlindung di pusat itu dibenarkan pulang ke rumah masing-masing semalam.

Keadaan di negeri Pahang dan Kelantan pula menampakkan perkembangan yang positif apabila jumlah mangsa banjir di PPS di dua negeri itu mulai berkurangan.

Bagaimanapun situasi agak berbeza di Johor apabila jumlah mangsa di 42 PPS di negeri itu terus meningkat, dengan Kluang menjadi daerah terbaharu dilanda banjir.

Dalam mengharungi ujian bencana ini, nasib mangsa banjir terus mendapat perhatian pelbagai pihak, termasuk dari Public Bank Bhd yang menawarkan pinjaman dan bantuan pembiayaan kepada pelanggan yang terjejas akibat banjir di beberapa negeri baru-baru ini.

Bank itu dalam satu kenyataan semalam berkata bantuan itu termasuk penangguhan ansuran bulanan untuk pinjaman dan pembiayaan sehingga enam bulan berdasarkan kepada permintaan pelanggan, serta kemudahan pinjaman dan pembiayaan seperti pembiayaan rumah, sewa beli dan kad kredit untuk setiap pelanggan, di samping pinjaman dan pembiayaan bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Public Bank turut mengecualikan caj penggantian dokumen berkaitan perbankan, seperti kad bank, buku bank, dan cek yang telah musnah atau hilang disebabkan banjir.

Selain itu, Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM) pula memberi jaminan kepada mangsa banjir yang memiliki perlindungan banjir bahawa ahli-ahlinya bersedia untuk mempercepatkan proses tuntutan dan bayaran kerugian yang disebabkan oleh bencana itu.

Menurutnya syarikat yang menjadi ahli PIAM akan memproses semua tuntutan banjir dengan syarat banjir adalah bencana yang dilindungi syarikat itu, tanpa mengambil kira sama darurat diisytiharkan atau tidak, selain komited untuk mempercepat penyelesaian tuntutan banjir dengan menghubungi pihak yang menuntut.

Mereka juga bersedia untuk mengetepikan borang tuntutan dan dokumen sokongan bagi memastikan tempoh pemprosesan yang lebih singkat.

Selain itu di Maran, Pahang, kontraktor kejuruteraan, China Communications Construction (ECRL) Sdn Bhd (CCC-ECRL), antara watak penting bagi projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) pula telah menyediakan pengangkutan dan bekalan makanan kepada pusat bantuan banjir, di samping tenaga kerja serta pelbagai mesin seperti jentera pengorek bagi membantu usaha pembersihan bandar Maran.

Kerajaan Negeri Pahang semalam menerima sumbangan 18,000 kampit beras bernilai RM241,000 dari Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) bagi membantu mangsa banjir.

Untuk hari ini, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran cuaca buruk dan waspada dengan hujan lebat dijangka berlaku di Pahang, Sarawak, Johor dan Sabah.

Selain itu hujan lebat dijangka berlaku di Pahang melibatkan kawasan Maran, Kuantan, Bera, Pekan dan Rompin, serta Johor di Segamat, Kluang, Mersing, Pontian, Kulai, Kota Tinggi dan Johor Bahru.

– BERNAMA


Pengarang :