AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Banjir surut, tiga pusat pemindahan negeri ditutup

SHAH ALAM, 6 JAN: Tiga pusat pemindahan sementara (PPS) di Hulu Selangor dan Kuala Selangor yang menempatkan seramai 170 mangsa banjir ditutup semalam.

Pegawai operasi Unit Pengurusan Bencana Negeri Selangor berkata penutupan melibatkan Balai Raya Kampung Baru A dan Dewan Orang Ramai Kampung Sekolah, kedua-duanya di Hulu Selangor.

Muhammad Izzat Haziq Mohd Nazir memaklumkan PPS Sekolah Kebangsaan Rantau Panjang, Kuala Selangor pula ditutup tengah hari tadi selepas banjir surut sepenuhnya.

“Setakat ini hanya satu PPS masih dibuka iaitu Balai Raya Kampung Alah Batu, Gedangsa yang menempatkan 13 mangsa,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata pasukan petugas bencana bersedia terhadap sebarang kemungkinan jika kejadian banjir berulang susulan cuaca tidak menentu.

Pada Ahad, beberapa kampung dilanda banjir berikutan hujan berterusan yang menyebabkan limpahan air Sungai Inki dan Sungai Bernam.

Insiden tersebut menjejaskan Kampung Sekolah, Kampung Sungai Nilam, Kampung Serigala, Kampung Masjid, Kampung Paya Lebar, Kampung Alah Batu dan Kampung Belakang Sekolah di Hulu Selangor serta Kampung Rantau Panjang di Kuala Selangor.


Pengarang :