AGENDAEKONOMINASIONAL

Bank sedia lanjutkan bantuan, moratorium susulan PKP 2.0

KUALA LUMPUR, 18 JAN: Pihak industri perbankan bersedia membantu kalangan peminjam atau pelanggan mereka yang terjejas susulan pelaksanaan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di beberapa negeri dan Wilayah Persekutuan.

Dalam kenyataan bersama pada Ahad, Persatuan Bank-Bank Malaysia (ABM) dan Persatuan Institusi Perbankan Islam Malaysia (AIBIM) berkata institusi kewangan terbabit akan terus melanjutkan bantuan pembayaran balik, termasuk melanjutkan moratorium sedia ada kepada individu yang terbukti terjejas akibat PKP.

Pada masa sama, bank-bank juga mengumumkan lanjutan bantuan bayaran balik bagi mangsa-mangsa banjir berkaitan dan mereka telah diminta untuk menghubungi bank masing-masing bagi tujuan itu.

Menurut ABM dan AIBIM, lanjutan itu membabitkan semua skim bantuan bayaran balik bersasar yang diumumkan sebelum ini.

“Ini terutamanya membabitkan pelanggan yang kehilangan kerja pada 2020 atau 2021. Mereka boleh memohon bagi bantuan itu untuk tempoh tiga bulan pada bila-bila masa pada atau sebelum 30 Jun, 2021.

“Selain itu, individu yang masih bekerja tetapi pendapatan mereka dikurangkan susulan pandemik ini, juga boleh memohon untuk menurunkan jumlah ansuran bayaran.

“Bagi kalangan isi rumah M40 yang juga penerima Bantuan Prihatin National, bank-bank membenarkan mereka membuat pengisytiharan diri,” kata persatuan itu.

Isi rumah B40 yang berdaftar dengan pangkalan data Bantuan Sara Hidup atau Bantuan Prihatin Rakyat boleh memohon bagi sama ada pengecualian bayaran ansuran selama tiga bulan atau pengurangan ansuran sebanyak 50 peratus selama enam bulan.

Usahawan mikro dengan pinjaman/pembiayaan membabitkan jumlah asal sehingga RM150,000, boleh memohon untuk sama ada penangguhan ansuran selama tiga bulan atau mengurangkan ansuran sebanyak 50 peratus selama enam bulan.

Menurut ABM dan AIBIM, bantuan pembayaran balik untuk B40, M40 dan perusahaan mikro itu adalah untuk pinjaman/pembiayaan yang diluluskan sebelum 1 Oktober 2020 dan tidak tertunggak lebih 90 hari dari tarikh permohonan bantuan bayaran balik yang dikemukakan kepada bank.

Selain itu, semua peminjam/pelanggan lain yang turut berdepan kesukaran membuat bayaran balik pinjaman/pembiayaan masing-masing, juga boleh menghubungi bank untuk membincangkan pakej bayaran balik yang sesuai dengan keadaan mereka.

Persatuan itu berkata, setakat 31 Dis, 2020, lebih 1.3 juta permohonan bantuan bayaran balik telah diterima dengan kadar kelulusan sebanyak 95 peratus.

“Sejajar dengan tempoh mencabar ini, industri perbankan ingin menggalakkan peminjam/pelanggan yang mempunyai aturan bayaran balik sedia ada dan sukar meneruskan obligasi itu untuk menghubungi bank mereka bagi bantuan selanjutnya.

“Penerimaan bantuan bayaran balik bersasar dalam tempoh itu tidak akan dimasukkan dalam laporan sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS),” kata persatuan itu.

Sementara itu, Pengerusi ABM merangkap Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Malayan Banking Bhd (Maybank) Datuk Abdul Farid Alias berkata bank-bank juga kekal komited untuk membantu para pelanggan yang terjejas akibat keadaan semasa.

“Kami dapat mengatur skim bantuan kewangan mengikut keadaan khusus peminjam supaya mereka dapat menstabilkan keadaan kewangan dan menumpukan kehidupan yang lebih memerlukan perhatian,” katanya.

Presiden AIBIM merangkap CEO RHB Islamic Bank Bhd Datuk Adissadikin Ali pula yakin bahawa negara mahu pun bank dan orang ramai kini lebih bersedia dalam menghadapi tempoh sukar tersebut.

“Oleh itu, komunikasi antara pelanggan terjejas dan bank haruslah terus berlaku demi manfaat kedua-dua pihak. Bantuan pembayaran ini masih ada untuk mereka yang terjejas,” katanya.

Dalam pada itu, ABM dan AIBIM berkata bank-bank juga komited untuk memastikan proses yang mudah serta lancar bagi peminjam/pelanggan memohon bantuan kelonggaran bantuan bayaran semula itu.

Bagi kebanyakan kes, mereka terbabit boleh memohon dan melengkapkan permohonan secara dalam talian atau melalui telefon selain memohon di cawangan bank.

Namun, mereka juga dinasihatkan untuk menyemak laman sesawang bank masing-masing mengenai maklumat perubahan waktu operasi atau pengaturan perkhidmatan di kaunter.

Dalam pada itu, demi keselamatan pelanggan dan pekerja bank, institusi kewangan terbabit turut beroperasi dengan mematuhi prosedur operasi standard ditetapkan susulan pandemik itu dan orang ramai digalakkan melakukan transaksi perbankan secara dalam talian atau saluran digital lain, kata ABM dan AIBIM.

– BERNAMA

 


Pengarang :