Peniaga bergambar bersama lesen penjaja sementara yang diterima mereka dalam majlis penyerahan di Sungai Udang, Klang pada 8 September 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
BERITA UTAMA PENDAPAT RENCANA

Bantu penjaja raih rezeki

Di sebalik ketegasan menguat kuasa peraturan, pihak berkuasa tempatan (PBT) memainkan peranan penting bagi membantu orang ramai yang kesempitan akibat wabak Covid-19.

Usaha tersebut antaranya dengan meluaskan pemberian permit sementara kepada peniaga kecil.

Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) misalnya meluluskan permit sementara kepada 180 peniaga dan penjaja kecil di Seksyen U20 pada 16 Ogos lalu.

Ng Sze Han menyerahkan lesen penjaja sementara kepada peniaga dalam majlis berlangsung di Sungai Udang, Klang pada 8 September 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI

Kelulusan menerusi program penyusunan semula peniaga dan penjaja Bandar Baru Sungai Buloh, jauh melepasi sasaran awal iaitu 80 peniaga.

Permit tersebut membolehkan mereka meneruskan operasi sementara menunggu kelulusan tapak baharu.

Beberapa lokasi juga dikenal pasti untuk membina kompleks arked niaga di bandar berkenaan yang dijangka mampu menempatkan lebih 200 peniaga. Pembinaan itu sekali gus meleraikan kemelut penjaja di bahu jalan.

MBSA turut mengadakan penyusunan semula penjaja di beberapa kawasan antaranya Kampung Baru Hicom, Seksyen 26 Shah Alam (9 Mei), Seksyen U4 Kampung Baru Sungai Buloh (3 Jun), Seksyen 7 Shah Alam (8 Julai), Paya Jaras Hilir (20 Julai) dan Paya Jaras (29 Julai).

MBSA pada 20 Disember turut meluluskan 62 permit kepada usahawan kecil sekitar Kota Kemuning. Mereka akan ditempatkan di tapak penjaja sementara di beberapa lokasi meliputi Seksyen 26, 27, 28, 31 dan 35.

Ng Sze Han ketika ditemui media selepas Majlis Penyampaian Permit Penjaja Bagi Penjaja-Penjaja Di Bawah Pentadbiran Majlis Perbandaran Kajang di Menara MPKj, Kajang pada 29 September 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Majlis Perbandaran Klang (MPK) turut mengeluarkan lesen sementara yang memanfaatkan hampir 500 penjaja.

Untuk permulaan, permit diberi secara berperingkat kepada 35 penerima mulai 19 Ogos supaya mereka boleh berniaga tanpa dikenakan tindakan undang-undang.

Langkah sama diambil Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) yang meluluskan 58 daripada 97 permohonan permit sementara kepada penjaja.

Permit dikeluarkan untuk penjaja di jalan seliaan MPKL dengan mengehad bilangan peniaga bagi sesebuah kawasan untuk mengelak kesesakan lalu lintas.

Naik Taraf

Di sebalik kemuraman suasana akibat wabak, PBT Kuala Langat dan Subang Jaya pula diceriakan dengan penarafan baharu.

Kuala Langat diisytihar sebagai Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) secara rasmi pada 10 September manakala Subang Jaya dimasyhur sebagai Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) pada 20 Oktober.

Dato’ Seri Amirudin Shari menandatangani plak pengisytiharan Majlis Perbandaran Kuala Langat di Dewan Seri Jugra, Banting pada 9 September 2020 selepas diperkenankan DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI

Perakuan status baharu itu dibuat selepas mendapat perkenan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj.

Bagi MPKL, kejayaan itu membuktikan hasil kerja keras yang menelan masa bertahun-tahun untuk dijayakan kerana usaha mencapai status perbandaran dimulakan sejak 2007 lagi.

Peralihan Subang Jaya kepada bandar raya pula menjadikan Selangor memiliki tiga PBT berstatus demikian selepas Shah Alam dan Petaling Jaya.

Pemberian status berdasarkan penilaian dan syor Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan Kerajaan Negeri sebelum dibawa untuk kelulusan kabinet.

Bangunan Majlis Bandaraya Subang Jaya pada 20 Oktober 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Sebagai sebuah bandar yang memiliki penduduk terpadat di Malaysia berdasarkan banci penduduk 2010, tidak dinafikan Subang Jaya mempunyai pelbagai kemudahan dan prasarana mencukupi.

Faktor itu melayakkannya untuk diiktiraf dan bersedia menggalas tanggungjawab sebagai PBT berstatus bandar raya selaras kualiti perkhidmatannya.

Selain itu, PBT di Selangor sejak Mac turut memainkan peranan penting dalam mengekang wabak dengan membuat serbuan ke atas premis yang mengupah pekerja asing dan membantu melaksanakan nyahkuman ke pelbagai lokasi. Tindakan itu bagi memastikan penularan virus melalui pekerja asing tidak berleluasa.


Pengarang :