BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Bantuan makanan kepada 7,000 petani, nelayan dan penternak dipercepat

SHAH ALAM, 25 JAN: Kerajaan Negeri bakal menyalurkan bantuan bakul makanan kepada 7,000 petani, nelayan dan penternak dalam tempoh terdekat, kata EXCO pertanian.

Ir Izham Hashim berkata inisiatif melibatkan peruntukan sejumlah RM500,000 disalurkan secepat mungkin untuk mengurangkan beban golongan tersebut sejak penularan Covid-19.

“Kerajaan Negeri melaksanakan pelbagai langkah untuk mengurangkan beban rakyat dan kita tidak mahu ada golongan tercicir menerima bantuan.

“Insya-Allah selepas ini pelbagai bentuk bantuan akan disalurkan kepada warga agro untuk menangani kesan pendemik,” katanya kepada SelangorKini.

Pada 20 Januari, Dato’ Menteri Besar mengumumkan peruntukan sejumlah RM2 juta untuk melaksanakan pelbagai inisiatif meringankan beban golongan tersebut.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata insentif diberikan antaranya baucar petrol (nelayan), barangan pertanian (petani), makanan ternakan (penternak) dan bahan mentah (pengusaha industri asas tani).

Inisiatif tersebut antara yang terkandung dalam Pakej Kita Selangor bagi meringankan beban rakyat untuk mendepani PKP 2.0.

Pelan dengan implikasi kewangan berjumlah RM73.877 juta bagi menggiatkan usaha memerangi Covid-19 dan merangsang ekonomi negeri termasuk pemberian bantuan kepada golongan terjejas.


Pengarang :