Petugas barisan hadapan melalui rutin harian melakukan saringan Covid-19. Foto Facebook Dr Noor Hisham.
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Bantuan makanan suntik semangat, motivasi petugas hadapan

SHAH ALAM, 22 JAN: Bantuan makanan tengah hari dan malam menerusi Pakej Kita Selangor menyuntik semangat dan motivasi petugas barisan hadapan untuk memberi khidmat terbaik dalam mengekang penularan Covid-19.

Ketua inspektor kesihatan pejabat kesihatan daerah (PKD) Kuala Langat mengakui bangga dan terharu atas keprihatinan Kerajaan Negeri menyediakan bekalan tersebut sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Sumbangan itu membuktikan pengorbanan kami yang bekerja tanpa henti sejak pandemik melanda negara dihargai pentadbiran negeri.

“Alhamdulillah bantuan ini amat membantu lebih-lebih lagi apabila sering berdepan kesuntukan masa untuk membeli makanan di luar terutama pada tengah hari,” kata Mohmad Farhan Kadri ketika dihubungi SelangorKini.

Beliau berkata ini disebabkan ada masanya terpaksa pulang ke rumah di Kuarters MDKL atau menempah makanan secara dalam talian menggunakan khidmat penghantaran ke lokasi bertugas di Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) di Stadium Jugra, Banting.

“Sumbangan ini meringankan beban tambahan ketika kami perlu menguruskan pesakit Covid-19 yang bertambah setiap hari.

“Malah ia membantu anggota polis dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di CAC yang menjalankan pemantauan aktiviti pematuhan tatacara operasi piawai (SOP),” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Polis Sri Muda Inspektor Mohammad Firdaus Mohd Khairi berkata bantuan melalui Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI) sedikit sebanyak menampung peruntukan sama diberi polis kepada anggota bertugas di sekatan jalan raya (SJR) dan pasukan khas pematuhan SOP PKP seluruh Selangor.

“Ia menunjukkan Kerajaan Negeri menghargai khidmat bakti pasukan polis sebagai petugas hadapan bagi mengekang penyebaran wabak Covid-19,” katanya.

Rabu lalu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan pakej bantuan khas, Pakej Kita Selangor dengan peruntukan RM3 juta untuk pelaksanaan bantuan makanan kepada petugas barisan hadapan seluruh negeri.

Inisiatif itu memanfaatkan seramai 9,822 petugas perubatan di hospital dan PKD termasuk 3,500 anggota polis serta ATM.


Pengarang :