AGENDANASIONAL

Banyak aktiviti niaga dibenar operasi di negeri PKP – menteri

SHAH ALAM, 12 JAN: Majoriti aktiviti perniagaan di negeri dikuat kuasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dibenarkan bermula jam 6 pagi hingga 8 malam.

Menteri kanan (kluster keselamatan) berkata kebenaran itu termasuk bagi premis antaranya restoran, kedai makan, kendera saji, penjaja dan gerai makan tepi jalan, medan selera, kedai runcit, serbaneka serta kedai keperluan harian.

“Aktiviti penjualan makanan hanya dibenarkan secara bawa pulang, pandu lalu atau penghantaran sahaja sepanjang tempoh berkenaan,” kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada sidang media hari ini.

Beliau berkata stesen minyak dibenarkan beroperasi dari 6 pagi hingga 10 malam kecuali di lebuh raya yang boleh dibuka 24 jam.

Menurutnya, hospital dan klinik dibenarkan sehingga 24 jam manakala kedai farmasi dari 6 pagi hingga 8 malam.

“Pasar harian dan pasar tani dibolehkan mulai 7 pagi hingga 2 petang manakala pasar borong (12.01 hingga 6 pagi dan 11 pagi hingga 4 petang).

“Klinik dan kedai makanan haiwan pula dari 6 pagi hingga 8 malam tetapi kedai dobi kecuali dobi layan diri beroperasi dalam tempoh masa sama,” katanya.

Berikut perincian aktiviti TIDAK dibenarkan:

1. Ekonomi
– Operasi pasar malam dan bazar larut malam
– Operasi kedai pakaian, dobi, kedai cermin mata, gunting rambut, salon, spa dan refleksologi
– Kelas tuisyen, kelas muzik, kelas tarian, seni, kelas mengaji dan kelas bahasa

2. Hiburan
– Kelab malam atau pub
– Taman tema, taman permainan dalaman, karaoke keluarga dan panggung wayang
– Konsert atau acara langsung

3. Mesyuarat bersemuka agensi kerajaan dan swasta

4. Semua seminar/bengkel/kursus/latihan/persidangan/ceramah/pameran dan aktiviti berkaitan mesyuarat, insentif, konvensyen dan pameran

5. Majlis Keramaian
– Majlis rasmi dan tidak rasmi kerajaan dan swasta
– Majlis sosial seperti kenduri-kendara, majlis perkahwinan dan pertunangan, resepsi, majlis aqiqah, doa selamat, tahlil, sambutan ulang tahun, sambutan hari kelahiran, reunion, retreat dan lain-lain majlis sosial

6. Sukan dan Rekreasi
– Semua aktiviti sukan dan riadah kecuali kelonggaran aktiviti jogging dan berbasikal seperti dinyatakan dalam SOP
– Penganjuran kejohanan/pertandingan
– Aktiviti sukan dan rekreasi melibatkan penglibatan ramai dan sukar dikawal penjarakan fizikal
– Acara dan pertandingan sukan melibatkan peserta dari luar negara

7. Pelancongan
– Aktiviti pelancongan ke luar/masuk kawasan PKP dan di kawasan PKP Diperketatkan
– Aktiviti pelancongan ke luar negeri oleh warganegara
– Aktiviti pelancongan dalam negeri melibatkan pelancong asing memasuki Malaysia kecuali dari negara sebagaimana dinyatakan menteri


Pengarang :