Sukarelawan Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak melipat semula khemah di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Dewan Taman Malihah setelah pusat itu dinaiki air, awal pagi 14 Januari 2021. Mangsa banjir ditempatkan di pusat itu terpaksa dipindahkan ke PPS baharu di Sekolah Jenis Kebangsaan Chung Hua Sungai Tengah yang berhampiran. Foto: BERNAMA
AGENDANASIONAL

Beberapa negeri semakin pulih, Sarawak masih dilanda banjir

KUALA LUMPUR, 16 JAN: Keadaan banjir di beberapa negeri telah menunjukkan perkembangan baik dengan penurunan jumlah mangsa banjir, sebaliknya Sarawak pula masih dilanda bencana itu.

Lebih memburukkan keadaan, amaran cuaca waspada dengan hujan lebat dijangka berlaku di beberapa kawasan di Bumi Kenyalang hingga Ahad, menurut Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).

MetMalaysia turut mengeluarkan amaran cuaca waspada dengan hujan lebat berterusan di Sabah sepanjang tempoh sama serta memaklumkan kawasan pantai Sarawak dan Sabah dijangka dilanda angin kencang.

Dalam memelihara kebajikan mangsa banjir dan mengurangkan risiko penularan Covid-19, kerajaan negeri Sarawak mengambil langkah berjaga-jaga dengan menetapkan kapasiti pusat pemindahan sementara (PPS) di negeri itu tidak melebihi 50 peratus daripada kapasiti keseluruhan pusat berkenaan.

Setakat petang semalam, jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di negeri itu adalah sebanyak 4,343 orang dengan jumlah 50 PPS masih beroperasi di enam daerah dilanda banjir sejak Rabu lepas.

Keadaan di negeri-negeri lain seperti Sabah, Johor dan Pahang pula terus menunjukkan tanda positif pemulihan banjir.

Rakyat Sabah yang terkesan akibat banjir dan air pasang besar semalam menerima berita baik selepas pengumuman dibuat mengenai bantuan wang ihsan RM500 bakal disalurkan kepada setiap keluarga di negeri itu.

Jumlah mangsa banjir di negeri itu berkurangan secara mendadak kepada 313 orang daripada 84 keluarga petang tadi dan kesemua mangsa banjir ditempatkan di tujuh PPS di empat daerah negeri itu.

Sementara itu, jumlah mangsa banjir di Johor menunjukkan trend menurun sejak beberapa hari lepas dengan hanya 93 orang di dua PPS setakat petang tadi manakala Pahang mencatatkan jumlah mangsa seramai 7,012 orang yang masih berteduh di 92 PPS.

– BERNAMA


Pengarang :