Seorang pelanggan membungkus makanan susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika tinjauan di sebuah restoran di Seksyen 7 Shah Alam pada 13 Januari 2021. Foto BERNAMA
EXCOSELANGOR

Bersungguh tempuh PKP, usaha kekang penularan Covid-19

SHAH ALAM, 13 JAN: Masyarakat perlu lebih serius ketika menghadapi tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kali kedua mulai hari ini bagi mencegah jangkitan Covid-19.

Borhan Aman Shah berkata langkah kerajaan menguat kuasa perintah itu dianggap wajar dan berharap jangka masa dua minggu ditetapkan mampu mengurangkan kadar peratusan serta penularan wabak di negara ini.

“Seperti kita tahu Selangor antara penyumbang tertinggi kes pandemik ini. Justeru orang ramai perlu serius dan patuh tatacara operasi piawai (SOP) dalam memastikan jumlah kes berkurang dalam tempoh itu,” kata EXCO Kerajaan Negeri itu kepada SelangorKini.

Beliau turut menasihatkan orang ramai memakai pelitup muka pakai buang dengan betul dan dibuang selepas itu selain tidak diguna berulang kali kerana dikhuatiri virus mudah merebak.

Isnin lalu Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pelaksanaan PKP meliputi tiga peringkat untuk tempoh 14 hari bemula hari ini.

PKP dikuat kuasa di Selangor, Pulau Pinang, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan), Melaka, Johor dan Sabah.

PKP Bersyarat pula di Pahang, Perak, Negeri Sembilan, Kedah, Terengganu dan Kelantan manakala PKP Pemulihan melibatkan Perlis dan Sarawak.


Pengarang :