AGENDAEKONOMINASIONAL

BNM: Sentimen pelabur bertambah baik, jejaki prestasi positif global

KUALA LUMPUR, 1 JAN: Sentimen pelabur bertambah baik pada November disebabkan terutamanya oleh perkembangan global yang positif.

Dalam sorotan November, Bank Negara Malaysia (BNM) berkata perkembangan ini termasuk prospek ekonomi yang bertambah baik berikutan hala tuju dasar Amerika Syarikat (AS) yang lebih jelas susulan berakhirnya Pilihan Raya Presiden AS serta perkembangan positif berhubung kelulusan dan pengagihan vaksin Covid-19.

“Hasilnya, indeks ekuiti global mencatatkan keuntungan secara keseluruhan, termasuk kutipan semula pinjaman daripada sektor-sektor yang terjejas akibat pandemik.

“Berlatarbelakangkan keadaan ini, FBM KLCI meningkat sebanyak 6.5 peratus pada bulan itu,” katanya.

Menurut bank pusat, risiko yang bertambah baik juga mendorong aliran masuk bukan pemastautin yang berterusan ke dalam pasaran bon domestik susulan aktiviti mencari keuntungan oleh pelabur yang menyumbang kepada ringgit menambah nilai sebanyak 2.2 peratus berbanding dolar US.

Meskipun pasaran bon kerajaan terus disokong oleh aliran masuk ini, ketidakpastian berhubung undian parlimen bagi Belanjawan 2021 telah mendorong kepada kadar hasil Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) 10-tahun yang lebih tinggi sedikit menjelang akhir bulan.

BNM berkata sistem perbankan berada pada kedudukan yang baik untuk menyerap kejutan pendapatan dan menyokong aktiviti pengantaraan.

“Nisbah modal sebahagian besarnya tidak berubah berikutan terbitan baharu instrumen hutang yang telah mengimbangi penurunan sedikit modal Ekuiti Biasa Kumpulan 1 (CET1) daripada bayaran dividen dan pengurangan keuntungan belum direalisasi daripada komponen modal instrumen kewangan.

“Lebihan penampan modal bank-bank berjumlah RM125.1 bilion pada November 2020,” katanya.

– BERNAMA

 


Pengarang :