Pemandangan dari udara sekitar bandar Chukai yang dilanda banjir pada 9 Januari 2021. Foto: BERNAMA
AGENDAEKONOMINASIONAL

BSN tawar tangguh pembiayaan pelanggan terjejas banjir

KUALA LUMPUR, 10 JAN: Bank Simpanan Nasional (BSN) mengumumkan pelan Bantuan Banjir kepada pelanggan yang terjejas berikutan banjir yang sedang melanda beberapa negeri.

Pelan tersebut melibatkan penangguhan bayaran ansuran pembiayaan sehingga enam bulan kepada pelanggan yang layak.

Ketua Pegawai Operasi BSN Kameel Abdul Halim berkata pelan Bantuan Banjir itu diwujudkan khas bagi mengurangkan beban yang ditanggung para pelanggan.

Menurutnya, mereka sedia maklum mengenai kesukaran yang dialami akibat hujan lebat dan banjir di luar jangkaan, terutamanya di negeri-negeri di pantai timur yang menyebabkan banyak rumah, kenderaan, perniagaan dan sebagainya terjejas, sekali gus memberi kesan kepada urusan harian dan sumber pendapatan mereka.

“Kami memahami bahawa sesetengah pelanggan memerlukan penangguhan dalam melaksanakan tanggungjawab kewangan mereka pada saat-saat genting seperti ini.

“Pihak bank akan memproses dan menilai setiap permintaan mengikut keadaan masing-masing,” katanya dalam kenyataan semalam.

Untuk maklumat lanjut mengenai pelan Bantuan Banjir, layari www.bsn.com.my.

Mereka juga boleh menghubungi Pusat Hubungan Pelanggan BSN di talian 1-300-88-1900 atau emel kepada [email protected].

– BERNAMA

 


Pengarang :