Gordon Ramsay bergambar di salah sebuah restoran miliknya di Versailles, Paris pada 20 Mac 2008. Foto AFP
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Buka cawangan di PJ, restoran Gordon Ramsay bakal jadi tarikan baharu

SHAH ALAM, 19 JAN: Pembukaan restoran cef selebriti terkenal Gordon Ramsay pada Jun di Petaling Jaya bakal menjadi tarikan terbaharu negeri ini.

Pengurus besar Tourism Selangor berkata produk pelancongan gastronomi atau berasaskan makanan berpotensi menarik kedatangan pelancong dalam dan luar negara.

Azrul Shah Mohamad turut berbesar hati pemegang bintang Michelin itu memilih Selangor untuk membuka cawangan restorannya yang pertama di Malaysia dan kedua di Asia Tenggara.

“Bagi yang ingin menikmati masakan gaya hidangan halus (fine dining), mereka boleh memilih untuk berkunjung ke restoran ini sebaik ia dibuka,” katanya ketika dihubungi.

Ramsay, 54, bakal membuka rangkaian restoran Gordon Ramsay Bar & Grill di Sunway Resort yang menawarkan pelbagai jenis hidangan antaranya Beef Wellington dan Sticky Toffee Pudding.

Sunway Resort dalam kenyataan di laman web memaklumkan pelanggan boleh membuat pratempahan bermula sekarang untuk menikmati hidangan cef dari British itu pada Jun.

Selain Malaysia, Ramsay mempunyai cawangan sama di Amerika Syarikat, United Kingdom, Perancis, China dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Popularitinya melonjak apabila menjadi bintang utama dalam rancangan realiti Hell’s Kitchen sejak 2005, Kitchen Nightmares (2004 hingga 2014) dan MasterChef US mulai 2010.


Pengarang :