AGENDANASIONAL

Bukit Aman: PKP turunkan 26.3 peratus kes kemalangan jalan raya

KUALA LUMPUR, 27 JAN: Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), larangan rentas negeri dan nasihat yang meminta orang ramai berada di rumah jika tiada urusan penting hampir sepanjang tahun lepas menyaksikan penurunan kadar kemalangan jalan raya di negara ini.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman Datuk Azisman Alias berkata sebanyak 418,237 kes kemalangan jalan raya dilaporkan di seluruh negara tahun lepas, turun 26.3 peratus berbanding 567,516 kes pada tahun 2019.

“Selain itu, pada tahun lepas jumlah kematian akibat kemalangan jalan raya yang dicatat adalah 4,634 kes berbanding 6,167 kes pada tahun 2019.

“Pelaksanaan PKP pada tahun lepas banyak membantu dalam mengurangkan jumlah kes kemalangan di jalan raya,” katanya pada sidang media khas di Bukit Aman di sini hari ini.

Beliau berkata daripada jumlah kemalangan yang dilapor tahun lepas, penunggang motosikal merekodkan kes paling tinggi berbanding kenderaan lain, dengan 3,118 kematian membabitkan pengguna motosikal dicatatkan.

“Jumlah itu juga berkurangan berbanding 3,959 kematian akibat kemalangan membabitkan motosikal pada tahun 2019,” katanya.

Azisman juga berkata sejumlah 7,655 individu ditahan atas pelbagai kesalahan tahun lepas iaitu 3,394 orang kerana memandu di bawah pengaruh alkohol; 2,624 samseng jalanan dan 1,637 bagi kesalahan lain.

Polis turut merekodkan kutipan saman berjumlah RM395.3 juta tahun lepas berbanding RM305.9 juta pada 2019 iaitu meningkat kira-kira RM89 juta atau 29.2 peratus.

Beliau berkata polis kini berada pada peringkat terakhir dalam membangunkan aplikasi membayar saman secara dalam talian khususnya untuk orang awam.

“Sistem dalam talian itu akan dibangunkan di portal dan aplikasi di telefon pintar… aplikasi itu akan dilancarkan dalam masa terdekat, mungkin sebulan atau dua bulan lagi,” katanya.

-BERNAMA

 


Pengarang :