AGENDANASIONAL

Bunyi letupan, gegaran gemparkan penduduk Sabah, Labuan

KOTA KINABALU, 31 JAN: Penduduk di sekitar daerah Sipitang dan Beaufort di Sabah serta Labuan panik seketika apabila digemparkan dengan bunyi letupan dan gegaran kira-kira 11 pagi tadi.

Mereka mendakwa letupan dan gegaran itu dirasai kira-kira 10 saat.

Seorang pekerja binaan di Beaufort, Jamlan Zainudin, 44, berkata pada mulanya beliau menyangka rumah yang dibaik pulihnya roboh.

“Kejadian itu berlaku sekejap, mulanya bunyi dentuman selepas itu bergegar sehingga menyebabkan penduduk di sini panik.

“Kami semua keluar dari rumah ingatkan rumah roboh. Saya dan rakan-rakan kemudian menghubungi ahli keluarga untuk pastikan mereka selamat,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Seorang guru, Aminah Siddek, 38, yang tinggal di Sipitang pula berkata beliau dan keluarga terus keluar dari rumah untuk menyelamatkan diri setelah merasai gegaran tersebut.

“Mulanya ingat ada kejadian gempa bumi di kawasan sekitar, tetapi tiada pula jumpa apa-apa maklumat, bila buka Facebook penuh cerita sampai ke Labuan merasai gegaran ini,” katanya.

Beliau berkata pelbagai andaian dan dakwaan dibuat oleh pengguna media sosial, justeru beliau berharap orang ramai hanya mempercayai maklumat daripada sumber yang sahih.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Beaufort DSP Azmir Abdul Razak berkata pihaknya sedang melakukan siasatan bagi mengenal pasti punca letupan serta gegaran tersebut, dan meminta penduduk di kawasan terlibat supaya bertenang.

“Kita sedang kesan lokasi punca kejadian itu (letupan dan gegaran), setelah dikenal pasti baru kita akan buka kertas siasatan,” katanya menerusi aplikasi Whatsapp kepada pemberita.

Beliau turut menafikan dakwaan pengguna di media sosial bahawa kerja memusnahkan bom lama yang ditemui di Labuan baru-baru ini, menjadi punca gegaran serta letupan itu kerana operasi memusnahkan bom itu dilakukan semalam.

 

Sementara itu, di Labuan, wartawan Bernama Jailani Hasan melaporkan, dentuman kuat tersebut juga menggegarkan rumah-rumah di pulau bebas cukai itu.

Penduduk di kampung Tanjung Aru, Tanjung Kubong, Taman Mutiara, Sg Bedaun, Rancha-Rancha, Taman Lazenda, Kerupang dan Patau-Patau 1 dan 2 yang merasai gegaran itu cemas dengan apa yang berlaku.

“Ramai tertanya-tanya dengan dentuman beberapa saat itu yang berlaku kira-kira 11 pagi… seolah-olah datang dari langit, saya amat terkejut, tidak tahu dari mana datang bunyi itu. Bukan ada orang yang mengetuk pintu,” kata Zulie Julkip, penduduk Patau-Patau 1.

Kumpulan aplikasi Whatsapp terbesar Labuan, Kongsi-Kongsi Info Labuan dibanjiri dengan laporan mengenai kejadian itu.

“Saya masih tertanya-tanya,” kata Johan Goh, sementara pelbagai agensi penguatkuasaan mengesahkan mereka menerima banyak panggilan daripada orang ramai mengenai perkara itu.

Balai polis Muara di negara jiran Brunei, ketika dihubungi, mengesahkan kejadian itu tetapi mengatakan tidak menerima laporan sehingga jam 1 tengah hari.

Sementara itu, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia menggerakkan asetnya di perairan Labuan dan sempadan dengan Brunei untuk menentukan sumber bunyi letupan itu.

Polis Labuan menyatakan mereka belum menerima laporan daripada penggiat industri minyak dan gas mengenainya.

Balai Bomba dan Penyelamat Labuan juga dihubungi untuk mendapatkan penjelasan tetapi belum ada maklum balas.

Ketua Polis Sipitang Champin Piuh, ketika dihubungi, mengesahkan bahawa tidak ada letupan di berlaku di Projek Ammonia dan Urea Sabah (Samur).

– BERNAMA


Pengarang :