AGENDAEKONOMINASIONAL

Bursa Malaysia catat dagangan berhati-hati minggu pertama 2021

KUALA LUMPUR, 2 JAN: Pasaran saham tempatan dijangka memasuki minggu pertama dagangan pada 2021 dalam dagangan berhati-hati berikutan pelabur mencari pemangkin pasaran baharu.

Penganalisis Pasaran Kanan OANDA Jeffrey Halley berkata trajektori kes Covid-19 di Malaysia terus menjejaskan sentimen Bursa Malaysia, dan ia dijangka hingga minggu depan kecuali peningkatan yang ketara dapat dilihat pada cuti Tahun Baharu.

Beliau berkata kenaikan akan dihadkan pada 1,660 dengan FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) berpotensi merosot kepada 1,620.

Pada tahap tersebut, dan dengan pelabur kembali bekerja pada Tahun Baharu, pembeli bernilai akan muncul, menyebabkan dagangan di bawah jualan, kata Halley.

“Jika Republikan AS memegang Georgia pada pilihan raya Senat Amerika Syarikat (AS) pada Rabu (waktu Malaysia) pasaran ekuiti akan meningkat, turut menaikkan Bursa Malaysia,” kata Halley kepada Bernama, sambil menambah akan melepasi paras 1,700 pada Januari, tetapi dijangka bukan pada minggu depan.

“Paras 1,700 lebih cenderung diuji pada separuh kedua bulan ini,” katanya.

Halley berkata ekuiti serantau di tempat lain perlu meningkat, dan Malaysia perlu mengelak berlaku lonjakan kes Covid-19 selepas cuti.

“Faktor utama yang memacu pasaran minggu depan ialah pilihan raya Senat Georgia di AS pada Rabu (waktu Malaysia). Kemenangan mengejut oleh Demokrat dijangka akan menyebabkan kemerosotan ekuiti di seluruh dunia.

“Bagaimanapun, saya menjangka impaknya sementara, dan untuk kenaikan ekuiti Malaysia kembali kukuh pada minggu kedua Januari, menganggap situasi Covid-19 di peringkat tempatan tidak merosot dengan ketara. Sekatan pergerakan dalam skala besar akan menjejaskan peningkatan,” katanya.

Dagangan Bursa Malaysia dalam jajaran kecil pada minggu baru berakhir, didorong oleh aktiviti memperelokkan akaun pada akhir tahun.

Pada Khamis, indeks utama dijejaskan oleh aktiviti jualan yang berterusan dalam saham wajaran tinggi termasuk Sime Darby Plantation berikutan sekatan yang dikenakan oleh Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan (CBP) AS ke atas produknya berdasarkan dakwaan penggunaan buruh paksa dalam proses pengeluarannya.

Sime Darby Plantation susut 18 sen kepada RM4.99, manakala Indeks Perladangan berkurangan 109.97 mata kepada 7,302.84.

Pada September 2020, CBP telah mengeluarkan Perintah Tahanan Pelepasan (WRO) terhadap FGV Holdings Bhd.

Pada asas Khamis kepada Khamis, petunjuk pasaran FBM KLCI merosot 13.96 mata kepada 1,627.21 daripada 1,641.17 minggu lepas.

Di papan skor, FBM 70 meningkat 30.3 mata kepada 15,142.84, Indeks FBM ACE naik 77.39 mata kepada 10,734.69, Indeks FBM Emas merosot 48.99 mata kepada 11,761.93, Indeks FBMT 100 susut 67.94 mata kepada 11,501.99, dan Indeks FBM Emas Shariah berkurangan 124.03 mata kepada 13,159.15.

Mengikut sektor, Indeks Perladangan susut 114.44 mata kepada 7,302.84, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan menambah 2.22 mata kepada 178.11, manakala Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 56.18 mata kepada 15,316.55.

Indeks Tenaga naik 16.92 mata kepada 896.39, Indeks Penjagaan Kesihatan susut 100.81 mata kepada 3,571.55 dan Indeks Teknologi menambah 2.31 mata kepada 69.72.

Jumlah dagangan mingguan naik kepada 31.20 bilion unit bernilai RM14.88 bilion daripada 28.99 bilion unit bernilai RM14.05 bilion minggu lepas.

Jumlah dagangan Pasaran Utama meningkat kepada 18.76 bilion saham bernilai RM12.5 bilion daripada 17.26 bilion saham bernilai RM10.7 bilion sebelum ini.

Jumlah dagangan waran, bagaimanapun, merosot kepada 1.61 bilion unit bernilai RM264.98 juta daripada 7.85 bilion unit bernilai RM364.77 juta pada minggu sebelumnya.

Jumlah dagangan Pasaran ACE naik kepada 10.83 bilion saham bernilai RM3.11 bilion daripada 9.52 bilion saham bernilai RM2.99 bilion sebelum ini.

– BERNAMA


Pengarang :