AGENDAEKONOMINASIONAL

Bursa Malaysia dijangka bergerak berhati-hati, jejaki prestasi global

KUALA LUMPUR, 24 JAN: Bursa Malaysia dijangka menyaksikan urus niaga berhati-hati menjelang mesyuarat Rizab Persekutuan Amerika Syarikat yang akan berlangsung minggu depan.

Ahli ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd Adam Mohamed Rahim berkata penyertaan pelabur juga agak perlahan minggu depan di celah-celah tempoh minggu urus niaga yang singkat berikutan sambutan perayaan Thaipusam pada Khamis.

“Selain itu, ringgit turut dijangka diniagakan dalam julat RM4.02 hingga RM4.03 untuk satu dolar AS minggu depan, disokong oleh langkah Bank Negara Malaysia (BNM) yang mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada Rabu lalu,” katanya kepada Bernama.

Pada awal minggu urus niaga Isnin 18 Januari, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI) bernilai RM15 bilion yang merangkumi 22 inisiatif bagi memerangi penularan pandemik Covid-19.

Sementara pada hari berikutnya 19 Januari, calon setiausaha Perbendaharaan AS Janet Yellen membuat kenyataan mengenai rangsangan fiskal berskala besar untuk mengurangkan kesan ekonomi akibat Covid-19 semasa pendengaran pengesahannya di Washington.

Pada Khamis 20 Januari pula, Joseph Biden mengangkat sumpah sebagai Presiden AS ke-46, sekali gus menyuntik keyakinan para pelabur.

Berdasarkan perbandingan mingguan, indeks petunjuk utama FBM KLCI susut 30.27 mata kepada 1,596.74 daripada 1,627.01 minggu sebelumnya.

Di papan skor, Indeks FBM Emas turun 142.72 mata kepada 11,563.62, Indeks FBMT 100 susut 142.72 mata kepada 11,563.62, FBM 70 meningkat 73.27 mata kepada 14,901.68, Indeks FBM Emas Syariah turun 155.74 mata kepada 13,048.95 dan Indeks FBM ACE menyusut 38.1 mata 10,758.01.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 145.78 mata kepada 14,885.6 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian menyusut 1.45 mata kepada 177.35 sementara Indeks Perladangan lebih rendah 142.20 mata kepada 7,223.16.

Indeks Tenaga turun 24.98 mata kepada 834.07, Indeks Penjagaan Kesihatan jatuh 59.03 mata pada 3,549.79 tetapi Indeks Teknologi meningkat 5.2 mata kepada 80.64.

Perolehan mingguan menurun kepada 33.18 bilion unit bernilai RM22.61 bilion daripada 34.50 bilion unit bernilai RM25.36 bilion minggu lalu.

Jumlah dagangan di Pasaran Utama lega kepada 18.94 bilion saham bernilai RM17.51 ​​bilion daripada 21.58 bilion saham bernilai RM21.07 bilion sebelumnya.

Perolehan waran menurun kepada 1.98 bilion unit bernilai RM315.38 juta daripada 2.52 bilion unit bernilai RM403.12 juta pada minggu sebelumnya.

Jumlah dagangan di Pasaran ACE meningkat kepada 12.25 bilion saham bernilai RM4.78 bilion daripada 10.40 bilion saham bernilai RM3.89 bilion sebelumnya.

– BERNAMA


Pengarang :