BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Cadang insentif khas 2.0 bantu pengusaha pelancongan terkesan Covid-19

SHAH ALAM, 5 JAN: Kerajaan Selangor sedia mempertimbang pemberian insentif khas kali kedua kepada penggiat industri pelancongan negeri yang terjejas susulan penularan Covid-19.

EXCO pelancongan berkata kebanyakan pemandu pelancong, pengusaha inap desa dan hos komuniti terpaksa beralih pekerjaan ekoran kelembapan sektor terbabit sejak Mac tahun lalu.

“Jika kewangan mengizinkan, kita akan cadang bantuan kali kedua dan dapatkan maklumat terperinci. Walaupun insentif tidak banyak tetapi sangat membantu mereka menampung kehidupan,” kata Hee Loy Sian pada program bual bicara anjuran Media Selangor malam tadi.

Seramai 553 penggiat industri pelancongan negeri meliputi pemandu pelancong, pengusaha rumah inap dan hos komuniti menerima insentif RM1,000 sekali bayar pada 19 November 2020.

Bantuan itu sebahagian daripada Pakej Pemulihan Ekonomi Selangor yang diumumkan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari pada 13 Julai tahun lalu.

Sementara itu, Loy Sian berkata pemain industri pelancongan perlu lebih kreatif merancang dan menyusun strategi bagi menarik minat pengunjung.

“Misalnya di Singapura, mereka wujudkan industri pelancongan makan malam dalam kapal terbang. Sudah tentu ia menjadi tarikan kerana pengunjung dapat merasai pengalaman berbeza,” katanya.


Pengarang :