Petugas Kesihatan Selcare melakukan saringan Covid-19 anjuran DUN Kota Anggerik di Klinik Selcare, Shah Alam pada 22 Januari 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
ADNBERITA UTAMASELANGOR

Caj murah saringan Covid-19 ringan beban rakyat kurang mampu

SHAH ALAM, 23 JAN: Tawaran serendah RM50 bagi saringan Covid-19 inisiatif Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Anggerik mendorong orang ramai untuk melakukan ujian itu.

Seorang peserta Elya Athirah A Jalil berkata caj murah bagi menilai status kesihatan menggunakan kit ujian pantas antigen (RTK-Ag) meringankan beban individu dan syarikat.

Pegawai keselamatan dan kesihatan itu memaklumkan majikannya mewajibkan setiap kakitangan membuat saringan susulan peningkatan kes Covid-19 di Selangor.

“Saya berterima kasih kepada wakil rakyat Kota Anggerik yang peka dengan keadaan semasa dan menggerakkan inisiatif bagi membantu rakyat kurang mampu,” kata wanita berusia 28 tahun itu.

Pekerja binaan Muhamad Solehin Mohamed Kauzi, 30, mengambil peluang keemasan itu selepas terlihat poster yang menawarkan kemudahan tersebut di Seksyen 13 di sini.

“Saya berharap usaha ini diperluaskan bukan sahaja peringkat DUN tetapi parlimen supaya lebih ramai akan mendapat manfaat,” katanya.

Ahli Dewan Negeri Kota Anggerik Najwan Halimi menawarkan inisiatif tersebut bermula 20 Januari, mengambil kira peningkatan kes Covid-19 yang semakin serius.

Program dengan kerjasama Selgate Corporation Sdn Bhd menyasarkan 2,000 peserta dan dilaksana sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan.


Pengarang :