EXCO Kesihatan Dr Siti Mariah Mahmud menjawab pertanyaan media selepas selesai Majlis Pembukaan Pusat Penjaja Dataran Puchong Prima, Puchong pada 17 Januari 2021. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Covid-19: 80 peratus kes tiada gejala, duduk rumah cegah wabak

PUCHONG, 17 JAN: Sebanyak 80 peratus kes jangkitan Covid-19 di negeri ini melibatkan individu tidak bergejala, kata EXCO kesihatan.

Justeru Dr Siti Mariah Mahmud berkata langkah terbaik adalah kekal di rumah sekiranya tiada urusan penting bagi melandai keluk penularan wabak.

“Kita kena sentiasa berwaspada dengan Covid-19 sebab fakta menunjukkan banyak kes dalam kalangan mereka tidak bergejala.

“Mereka tidak menunjukkan tanda demam, selsema dan batuk tetapi kelompok ini pembawa atau penyebar virus,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Penyerahan Bantuan Gerai Bergerak di Dataran Penjaja Puchong Permai hari ini.

Dr Siti Mariah turut menyokong langkah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang menetapkan pesakit tahap satu dan dua perlu menjalani kuarantin di rumah.

“Hospital atau pusat kuarantin semakin sesak, jadi pendekatan terbaik buat masa ini adalah meletakkan mereka tiada gejala menjalani kuarantin di rumah,” katanya.

Sebelum ini Menteri Kesihatan berkata pesakit tahap satu dan dua menjalani rawatan serta kuarantin di rumah dengan pemantauan ketat petugas kesihatan berkuat kuasa 1 Januari.

Datuk Seri Dr Adham Baba bagaimanapun berkata langkah tersebut bergantung kepada keluasan serta bilangan isi rumah.

Semalam Malaysia merekodkan kes baharu Covid-19 paling tinggi dengan 4,029 kes. Daripada jumlah tersebut, Selangor mencatat 1,466 kes diikuti Johor (719), Sabah (449), Kuala Lumpur (347) dan Negeri
Sembilan (214) selain 205 kes dirawat di unit rawatan rapi.


Pengarang :