Petugas kesihatan memasukkan sampel calitan ke dalam bekas khas untuk menjalani ujian makmal ketika program Saringan Komuniti Covid-19 Taman Sri Muda, Shah Alam pada 7 Januari 2021. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Covid-19 catat 2,433 kes baharu, sembilan lagi kematian

SHAH ALAM, 10 JAN: Sebanyak 2,433 kes baharu Covid-19 dilaporkan hari ini menjadikan jumlah keseluruhan jangkitan 135,992 kes.

Ketua pengarah kesihatan berkata Selangor kekal merekodkan kes harian tertinggi sebanyak 730 kes dengan 510 kes daripada kluster dan saringan kontak rapat.

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata Sabah pada kedudukan kedua mencatatkan 403 kes sementara Johor sebanyak 321 kes.

“Sebanyak 86 kes pula berkaitan kluster lokap, depot tahanan imigresen dan penjara membabitkan Kluster Penjara Jalan Harapan (79 kes), Kluster Pagar Siput (tiga), Kluster Penjara Seberang Perai (tiga), dan Kluster Tembok Choh (satu),” katanya dalam kenyataan.

Dr Noor Hisham memaklumkan seramai 1,277 pesakit berjaya sembuh menjadikan bilangan kes pulih setakat ini sebanyak 108,109 kes.

Beliau berkata sehingga kini terdapat 171 kes Covid-19 sedang dirawat di unit rawatan rapi dan 76 memerlukan bantuan pernafasan.

“Dukacita dimaklumkan terdapat pertambahan sembilan kes kematian hari ini menjadikan jumlah yang maut sebanyak 551 kes,” katanya lagi.


Pengarang :