Selangorkini
Petugas kesihatan daerah Baling bersiap sedia untuk melakukan saringan Covid-19 ke atas penduduk setempat di Surau Al-Ubudiah Kampung Padang Che Mas, Mukim Pulai pada 18 Oktober 2020. Foto BERNAMA
AGENDA NASIONAL

Covid-19: Gerakkan sejuta sukarelawan bantu petugas hadapan

KUALA LUMPUR, 31 JAN: Kecekapan negara menguruskan pandemik Covid-19 terus mendapat pengiktirafan global, kali ini menerusi ranking Indeks Prestasi Covid oleh Lowy Institute, sebuah badan pemikir berpusat di Sydney, Australia.

Menerusi dapatan berkenaan, Malaysia berada dalam kedudukan ke-16 mendahului Finland, Norway dan Korea Selatan dengan skor purata 71 peratus, tiga tangga di bawah negara jiran Singapura pada tempat ke-13.

Meskipun ia boleh dianggap satu pencapaian membanggakan, namun dengan situasi semasa Covid-19 dalam negara yang kini telah meragut lebih 700 nyawa dan mencatat kes kumulatif lebih 200,000, pakar perubatan tempatan berpendapat bahawa kerajaan perlu melakukan perubahan strategi.

Presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia Datuk Dr Zainal Ariffin Omar berkata ini terutamanya bagi mengelak petugas barisan hadapan daripada keletihan melampau yang boleh memberi impak kepada kesihatan dan tugasan mereka.

Bekas konsultan Pertubuhan Kesihatan Sedunia bagi Program Pencegahan Penyakit Tidak Berjangkit (NCD) di Vietnam itu berkata sudah tiba masanya sukarelawan bukan perubatan dipanggil seperti yang dipraktikkan penjagaan kesihatan primer di Thailand dan Vietnam.

Sukarelawan ini, menurutnya boleh ditugaskan bagi melakukan kerja-kerja mudah seperti pengesanan kontak, pemantauan pematuhan prosedur operasi standard, pematuhan kuarantin di rumah dan penyampaian maklumat kesihatan termasuk di kawasan pedalaman.

“Seeloknya kita panggil sejuta sukarelawan mewakili 32 juta penduduk di setiap negeri… mereka mestilah bukan daripada agensi-agensi kerajaan sedia ada yang sudah pun mempunyai beban tugas hakiki yang besar pada masa ini.

“Sukarelawan ini perlu ada di setiap lokaliti di bandar dan kampung. Mesti dilatih dengan modul khusus oleh pihak yang berautoriti dan diberi sokongan dan punca kuasa. Agensi Pengurusan Bencana Negara dan Majlis Keselamatan Negara boleh menyelaras dan memantau,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, Pengarah Pusat Penyelidikan dan Pendidikan Penyakit Berjangkit Tropika, Universiti Malaya Prof Dr Sazaly Abu Bakar berkata Malaysia juga perlu menjalin kerjasama dan bertukar pandangan dengan negara yang berjaya mengawal kadar kematian seperti Singapura, Taiwan dan China.

“Kita kalau boleh kena melihat juga apa perkembangan rawatan di negara-negara lain dan melaksanakan secara cepat, contohnya China guna kaedah tradisional, bagaimana pula dengan kita?” katanya.

Dr Sazaly juga berpandangan perlunya pendapat daripada pakar-pakar dari universiti tempatan diguna pakai, daripada semata-mata menyerahkan isu berkenaan bulat-bulat kepada Kementerian Kesihatan.

Pendapat sama diusulkan 46 pakar kesihatan sebelum ini agar satu pasukan petugas khas Covid-19 dibentuk daripada pakar perubatan, ekonomi dan pelbagai sektor berkaitan untuk menyediakan khidmat nasihat kepakaran dan menyelaraskan respons pelbagai kementerian dan agensi di dalam kerajaan.

-BERNAMA

 


Pengarang :