Jururawat memakai sut perlindungan diri memeriksa pesakit Covid-19 di Hospital Kuala Lumpur pada 21 April 2020. Foto REUTERS
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Covid-19: Kes sembuh lebih tinggi daripada jangkitan baharu

KUALA LUMPUR, 2 JAN: Sebanyak 3,321 kes sembuh dicatatkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh sepenuhnya daripada Covid-19 sebanyak 94,492 kes atau 80.5 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata jumlah kes sembuh itu mengatasi jumlah kes harian baharu pandemik itu iaitu sebanyak 2,295 kes, menjadikan jumlah keseluruhan kes positif Covid-19 dalam negara mencecah 117,373 kes.

Beliau berkata jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 kini adalah 22,398 kes.

“Daripada jumlah kes baharu itu, terdapat sembilan kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara manakala penularan Covid-19 dalam negara pula adalah sebanyak 2,286 kes.

“Selangor terus merekodkan jumlah kes harian baharu tertinggi sebanyak 638 kes dengan 496 kes adalah daripada kluster dan saringan kontrak rapat Covid-19 yang aktif dijalankan di lapangan. Ia diikuti dengan Johor yang merekodkan 580 kes manakala Pulau Pinang pula mencatatkan 288 kes dan Sabah 259 kes,” menurutnya dalam kenyataan mengenai perkembangan Covid-19 hari ini.

Dr Noor Hisham berkata 135 kes yang dilaporkan adalah berkaitan kluster-kluster di lokap, depot tahanan imigresen dan penjara yang membabitkan kluster Penjara Jalan Harapan (109 kes), kluster Tembok Gajah (14), kluster Kolam Air (3), kluster Tembok (3), kluster Penjara Seberang Perai (3), kluster Tembok Mempaga (2) dan kluster Tembok Choh (1).

Beliau berkata sembilan kematian direkodkan hari ini melibatkan warganegara berumur 41 hingga 82 tahun, iaitu enam lelaki dan tiga perempuan.

Katanya sehingga kini, terdapat 125 kes dirawat di Unit Rawatan Rapi dengan 51 memerlukan alat bantuan pernafasan.

– BERNAMA


Pengarang :