Suasana lengang di pekarangan Bangunan Sultan Abdul Samad selepas dikawal oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bagi mengekang penularan Covid-19 pada malam 31 Disember 2020. Foto: BERNAMA
PENDAPATRENCANA

Covid-19: Kita masih belum menang, tahun baharu 2021 penuh cabaran

Oleh Melati Mohd Ariff

KUALA LUMPUR, 1 JAN: Tahun 2020 sudah melabuhkan tirainya namun Perang Covid-19 di Malaysia masih belum berakhir, malah dikhuatiri akan terus berlarutan pada tahun baharu 2021 ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam paparan Facebook peribadinya semalam menyatakan, ‘”peperangan melawan pandemik Covid-19 masih belum tamat. Malah kian sengit yang memerlukan kesepaduan rakyat dan Kementerian Kesihatan (KKM) untuk menanganinya.

“Usaha KKM membendung penularan Covid-19 dalam negara tetap diteruskan dan kemudahan kesihatan awam dalam mendepani pandemik itu setakat ini masih boleh bertahan.”

Masyarakat diingatkan supaya terus mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) seperti penjarakan fizikal, pemakaian pelitup muka, sentiasa mencuci tangan dan elak tempat serta ruang sesak.

Beliau turut menyatakan setakat ini, tiada perkembangan positif dapat menurunkan angka Ro/Rt kepada kurang daripada 0.5 yang dapat meratakan lengkungan pandemik Covid-19 di negara ini.

Dalam kenyataan mengenai ramalan dan ujuran harian kadar kebolehjangkitan Ro/Rt untuk pandemik Covid-19 pada 30 Disember 2020, beliau menyatakan Ro/Rt kekal dalam lingkungan 1.05.

Petugas Pejabat Kesihatan Kuala Langat mengambil sampel saringan Covid-19 ke atas seorang warga asing di Pangsapuri Langat Utama, Kuala Langat pada 1 Jun lalu. Covid-19 memaksa petugas penjagaan kesihatan bekerja keras tanpa mengenal penat lelah, menjejaskan ekonomi selain menuntut orang ramai mengamalkan norma baharu dalam gaya hidup, belajar dan bekerja. Foto: BERNAMA

R0 (R naught) adalah merujuk kepada kebolehjangkitan sesuatu virus pada permulaan sesuatu wabak di dalam masyarakat. Ia merujuk kepada keberjangkitan, iaitu secara puratanya berapa ramai orang yang boleh dijangkiti oleh virus yang dibawa oleh kes dalam wabak tersebut.

Kebimbangan pandemik Covid-19 menjadi lebih kritikal pada tahun 2021 pastinya berlegar dalam kalangan rakyat negara ini apabila semalam, pada hari terakhir tahun 2020, 31 Disember, Malaysia merekod kes harian baharu tertinggi sebanyak 2,525 kes!

Ini menjadikan jumlah keseluruhan kes Covid-19 di Malaysia meningkat kepada 113,010 kes.

Daripada 2,525 kes itu, 2,512 kes adalah penularan tempatan, sementara 13 kes adalah kes import. Negara kini mempunyai 23,598 kes aktif dengan kebolehjangkitan!

Malaysia kini menduduki tangga ke-74 dalam senarai 216 negara global yang dilanda pandemik Covid-19, melangkau Bosnia and Herzegovina yang mencatat sebanyak 110,985. Di atas Malaysia ialah Venezuela dengan 113,558 kes.

China yang melaporkan kes awal koronavirus maut ini pada penghujung tahun 2019, di tangga ke- 83 dengan 87,071 kes. Negara jiran Singapura di tangga ke-88 dengan 58,599 kes.

Negara digemparkan dengan dengan tiga kes pertama penyakit koronavirus 2019-nCoV (yang kemudiannya dinamakan Covid-19) pada 25 Januari 2020. Kesemua kes itu melibatkan tiga warga negara China yang masuk ke Malaysia melalui Johor dari Singapura pada 23 Januari 2020.

Kes-kes awal seperti yang dilaporkan melibatkan warga negara China dari Wuhan (tempat bermulanya wabak Covid-19) dan kes positif Covid-19 jangkitan tempatan yang pertama diumumkan pada 7 Februari melibatkan seorang wanita.

Kebimbangan mengenai perkembangan pandemik Covid-19 di Malaysia sudah tentunya bertambah mencemaskan dengan tersebarnya laporan varian baharu koronavirus ini seperti yang berlaku di United Kingdom.

Mengulas laporan penyelidik di United Kingdom (UK) menemui varian baru Covid-19 yang dipanggil “VUI-202012/01” yang 70 peratus lebih mudah merebak, Dr Noor Hisham sebelum ini berkata pelawat asing dari 23 negara termasuk UK masih disekat daripada memasuki Malaysia

Afrika Selatan juga mengenalpasti varian baharu novel coronavirus, dirujuk sebagai “501.V2”. Antara 80 peratus hingga 90 peratus kes baharu Covid-19 di negara tu mengandungi varian mutan tersebut.

KKM juga sedang memantau mutasi baharu Covid-19 “A701B” yang dikesan di Sabah sewaktu melaksanakan ujian ke atas 60 sampel dalam Kluster Benteng LD di Sabah.

KKM sebelum ini mengenal pasti mutasi koronavirus ini iaitu D614G di Kedah yang melibatkan Kluster Sivagangga.

Punca Kes Positif Bertambah

Seperti minggu lalu, kluster tempat kerja termasuk tapak binaan di samping kluster aktif sedia ada terus menyumbang besar kepada jumlah kes harian baharu di negara ini sepanjang tempoh rangkuman 26 Disember hingga 31 Disember 2020.

Sebelum rekod kes harian tertinggi (2,525) pada 31 Disember 2020, Malaysia pernah mencatat kes baharu positif Covid-19 melepasi angka dua ribu, pada Sabtu 26 Disember iaitu 2,335 kes, 22 Disember (2,062 kes), 21 Disember (2,018 kes), 10 Disember (2,234 kes) dan 24 November (2,188 kes).

Untuk rekod, kes baharu harian sepanjang rangkuman mingguan (26 Dis 2020 – 31 Dis 2020 ) – 26 Dis (2,335 kes), 27 Dis (1,196 kes), 28 Dis (1,594 kes), 29 Dis (1,925 kes), 30 Dis (1,870 kes) dan 31 Dis (2,525 ).

Sementara itu, Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pada Isnin 28 Disember, Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) untuk tiga negeri – Sabah, Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur – yang dijadualkan berakhir pada 31 Disember 2020 dilanjutkan sehingga 14 Januari 2021.

Mereka yang pernah membaca tentang Kluster Teratai yang rata-ratanya melibatkan pekerja kilang sarung tangan kilang Top Glove tentunya masih ingat ketika pertama kali diumumkan pada 7 November 2020, seramai 4,036 daripada 5,777 pekerjanya yang disaring, positif Covid-19.

Dilaporkan kilang Top Glove mempunyai seramai 11,125 pekerja. Pengurusan kilang juga diarah menjalankan saringan ke atas 2,263 orang pekerja kilang yang tinggal di luar asrama atau kediaman yang disediakan pihak syarikat.

Sehingga 31 Disember 2020, Kluster Teratai dilaporkan merekod 6,227 kes positif.

Bertolak daripada Kluster Teratai, kerajaan mengarahkan ujian saringan Covid-19 dijalankan ke atas pekerja warga asing di semua sektor termasuk pembinaan, perkilangan dan komersial, berkuatkuasa 1 Disember 2020.

Pekerja dan peniaga Pasar Awam Banting menunggu giliran untuk menjalani saringan Covid-19 pada 31 Disember 2020. Foto PKD Kuala Langat

Saringan bersasar oleh oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) serta majikan di lokaliti zon merah, melibatkan enam buah negeri, iaitu Selangor, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Sabah serta dua wilayah persekutuan iaitu Kuala Lumpur dan Labuan.

Ketua Pegawai Eksekutif, PERKESO, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Dato Aziz Mohammed dilaporkan semalam sebagai berkata setakat ini hanya 8.5 peratus pekerja asing di kawasan yang menjadi sasaran menjalani saringan Covid-19 di bawah program saringannya dari 1 Disember hingga 29 Disember.

Sehingga 12 tengahari 29 Disember 2020, sejumlah 74,482 orang pekerja asing menjalani ujian saringan itu, melibatkan 2,601 majikan.

Kerajaan akan menguatkuasakan arahan tersebut bermula 1 Januari 2021di bawah Akta 342 di mana majikan yang gagal mematuhi arahan berkenaan akan dikenakan tindakan undang-undang dan penalti.

Situasi Kluster Covid-19 di Malaysia

Sehingga 31 Disember 2020, terdapat sebanyak 511 kluster dilaporkan di Malaysia dan daripada jumlah itu, sebanyak 286 kluster telah tamat.

Jumlah kluster aktif yang dipantau adalah sebanyak 225 kluster dan daripada jumlah itu, sebanyak 49 kluster melaporkan pertambahan kes. Kluster yang melaporkan pertambahan kes baharu tertinggi adalah Kluster Seruling (371 kes), Kluster Penjara Jalan Harapan (285 kes), dan Kluster Teratai (151 kes).

Rekod kluster sepanjang tempoh 26 Disember hingga 31 Disember 2020 adalah seperti berikut:-

26 Disember – 11 kluster baharu di mana empat (4) adalah kluster tempat kerja; 27 Disember – satu (1) kluster baharu yang merupakan kluster tempat kerja; 28 Disember – lima (5) kluster baharu di mana empat (4) adalah kluster tempat kerja; 29 Disember – sembilan (9) kluster baharu di mana 4 kluster tempat kerja; 30 Disember – lapan (8) kluster baharu di mana tiga (3) adalah kluster tempat kerja dan 31 Disember lima (5) kluster baharu di mana empat (4) adalah kluster tempat kerja.

Kluster tempat kerja yang merekod kes yang banyak ketika diumumkan KKM adalah Kluster Tapak Bina Jalan Seng (26 Disember), melibatkan daerah Titiwangsa di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, iaitu 232 kes positif.

Satu lagi kluster yang dlaporkan pada 26 Disember adalah Kluster Plastik Subang, melibatkan daerah Petaling dan Klang di Selangor. Sebanyak 111 kes positif dilaporkan sehingga 26 Disember.

Perincian Kes Covid-19

KKM melaporkan sehingga 31 Disember 2020, bilangan kes sembuh Covid-19 adalah sebanyak 1,481 kes, menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh sepenuhnya daripada Covid-19 adalah sebanyak 88,941 kes (78.7 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).

Sementara itu, seramai 131 pesakit Covid-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), di mana 60 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Petugas PBT Selangor dan beberapa NGO berganding bahu memasang 2,000 katil bertingkat di di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) MAEPS 2.0 pada 27 Disember 2020. Foto Facebook Jabatan Penerangan Negeri Selangor

KKM juga melaporkan lapan (8) lagi kes kematian Covid-19 pada Khamis 31 Disember, menjadikan jumlah kumulatif kes kematian Covid-19 di Malaysia sebanyak 471 kes (0.42 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).

Rekod kes kematian sepanjang tempoh rangkuman adalah 26 Dis (2 kes), 27 Disember (1 kes), 28 Dis (3 kes), 29 Dis (2 kes), 30 Dis (6 kes) dan 31 Dis (8 kes).

Selangor masih menyumbang jumlah kes terbanyak kepada jumlah keseluruhan kes Covid-19 dalam negara di mana semalam merekod 1,205 kes. Sebanyak 786 kes daripada kluster sedia ada, termasuk 12 daripada kluster baharu, Kluster Jalan Galah.

Sabah mencatat 299 kes di mana 202 daripadanya, daripada saringan kontak rapat kes positif; Melaka 239 kes (233 kes daripada kluster sedia ada); Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, 222 kes termasuk 14 kes daripada kluster baharu, kluster Jalan Datuk.

Johor mencatat 194 kes di mana 117 kes daripada kluster sedia ada termasuk 25 kes daripada kluster baharu, Kluster Kampung Baharu dan Kluster Pekeliling; Pulau Pinang 92 kes; Negeri Sembilan 78 kes; Wilayah Persekutuan Labuan 63 kes; Kelantan 37 kes; Perak 33 kes; Kedah 24 kes; Terengganu 17 kes; Pahang 15 kes; Wilayah Persekutuan Putrajaya lima (5) kes dan Sarawak dua (2) kes.

– BERNAMA

 


Pengarang :