Seorang lelaki memakai topeng mulut dan hidung kerana bimbang dengan penularan wabak Covid-17 berjalan melepasi alat pengimbas suhu badan di Lapangan Terbang Antarabangsa Changi, Singapura pada 6 Mac 2020. Foto AFP
AGENDANASIONAL

Covid-19: Lelaki Malaysia antara 54 kes import di Singapura

SINGAPURA, 31 JAN: Seorang lelaki Malaysia berusia 21 tahun merupakan antara 54 kes import asimptomatik yang dilaporkan di Singapura pada Sabtu, menurut Kementerian Kesihatan republik itu.

Kementerian itu menerusi data penuh yang dikeluarkan lewat malam tadi memaklumkan pemegang permit kerja itu baru tiba dari Malaysia.

Setakat tengah hari Sabtu, Singapura mencatatatkan 55 kes import baharu iaitu 54 adalah asimptomatik manakala satu kes bergejala.

Kes import lain ialah dari Bangladesh, Bahrain, Perancis, India, Indonesia, Myanmar, Rusia, Romania, Emiriah Arab Bersatu dan Amerika Syarikat.

Seorang lelaki Singapura berusia 51 tahun yang kembali dari Malaysia juga merupakan antara kes import asimptomatik atau tidak menunjukkan gejala.

Terdapat tiga jangkitan penularan tempatan Covid-19 pada Sabtu, semuanya asimptomatik menjadikan jumlah kes kepada 59,507 di republik itu.

Satu daripada kes berkenaan melibatkan lelaki Singapura berusia 72 tahun iaitu kakitangan Certis Cisco yang bekerja sebagai pegawai pemeriksaan penerbangan di Terminal 1 Lapangan Terbang Changi.

Keputusan ujian Covid-19 lelaki itu kembali positif pada 29 Jan manakala ujian serologinya negatif, menunjukkan bahawa ia mungkin jangkitan baharu.

Lelaki berkenaan menerima dos pertama vaksin Covid-19 keluaran Pfizer-BioNTech pada 25 Jan di pusat vaksinasi di Terminal 4 Lapangan Terbang Changi.

“Memandangkan vaksin itu tidak mengandungi virus hidup, tidak mungkin dia dijangkiti akibat vaksinasi. Ada kemungkinan bagi seseorang dijangkiti sebelum atau sesudah vaksinasi kerana biasanya ia memerlukan beberapa minggu untuk individu itu membina imuniti selepas menyelesaikan vaksinasi,” menurut kenyataan itu.

Dua kluster di Singapura tamat pada Sabtu, menjadikan jumlah empat kluster pada masa ini.

– BERNAMA


Pengarang :