Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah ketika sidang media harian berkaitan jangkitan Covid-19 di Kementerian Kesihatan Malaysia. Putrajaya pada 4 Januari 2021. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Covid-19: Lima lagi kluster baharu dikesan, dua di Selangor

SHAH ALAM, 4 JAN: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesan lima  lagi kluster baharu Covid-19 dengan dua daripadanya di Selangor.

Ketua pengarah kesihatan berkata Kluster Jalan Duyong dan Kluster Pasar Jalan Sentosa tercetus di Klang serta Kuala Langat membabitkan tempat kerja.

“Kes kluster Jalan Duyong diuji positif wabak pada 31 Disember lalu melalui saringan bersasar di sebuah syarikat.

“Sehingga hari ini, sejumlah 536 individu disaring dengan 110 kes dikesan positif dalam kluster ini,” kata Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah pada sidang media.

Sementara itu, beliau berkata kes indeks ke-118,272 bagi Kluster Pasar Jalan Sentosa dilaporkan positif semalam hasil saringan individu bergejala.

“Setakat ini, 293 individu disaring dengan 61 daripadanya dikesan positif Covid-19,” katanya.

Noor Hisham turut memaklumkan tiga lagi kluster dalam negara menjadikan kluster aktif dipantau sebanyak 231.

Kluster tersebut meliputi:

1. Kluster Jalan Nahkoda – Kluster tempat kerja melibatkan Titiwangsa dan Cheras di Kuala Lumpur.

2. Kluster Ehsan Ibol – Kluster melibatkan Hulu Perak, Larut, Matang dan Selama di Perak serta Gombak, Selangor.

3. Kluster Telok Mas – Kluster melibatkan sebuah pusat tahanan di Melaka Tengah, Melaka.


Pengarang :