Petugas kesihatan menanggalkan gelang kuarantin seorang individu yang selesai menjalani tempoh kuarantin wajib 14 hari dan bebas jangkitan Covid-19 ketika tinjauan di Klinik Kesihatan Membedai Labuan pada 6 Oktober 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Covid-19: Malaysia catat kes harian tertinggi, sembuh 4,313

KUALA LUMPUR, 23 JAN: Kes baharu Covid-19 hari ini merekodkan jumlah tertinggi iaitu 4,275 kes selepas merekodkan 4,029 kes pada 16 Jan lepas, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Bagaimanapun, beliau berkata jumlah kes sembuh turut merekodkan angka tertinggi hari ini iaitu 4,313 kes yang melebihi angka kes baharu sekali gus menjadikan keseluruhan kes sembuh sebanyak 137,019 setakat ini.

“Dari jumlah kes baharu hari ini, 4,264 kes adalah penularan tempatan manakala 11 lagi kes import. Ini menjadikan jumlah kumulatif kes baharu ialah 180,455 kes dengan kes aktif 42,769 kes,” menurutnya dalam kenyataan perkembangan situasi Covid-19 di sini hari ini.

Dr Noor Hisham berkata tujuh lagi kematian direkodkan hari ini menjadikan jumlah korban akibat virus berbahaya itu setakat ini ialah 667 kes.

Memperincikan lanjut, beliau berkata terdapat 260 kes yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 103 daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.

Dr Noor Hisham berkata Selangor melaporkan kes harian baharu tertinggi iaitu sebanyak 1,421 diikuti Kuala Lumpur (548 kes) dan Sabah (498 kes).

Bagi kes baharu setiap negeri selain Selangor, Kuala Lumpur dan Sabah, Johor merekodkan 425 kes, Melaka (278 kes), Perak (208 kes), Sarawak (193 kes), Pulau Pinang (162 kes), Terengganu (131 kes), Negeri Sembilan (108 kes), Kedah (105 kes), Kelantan (78 kes), Pahang (75 kes), Putrajaya (35 kes), Perlis (7) dan Labuan (3 kes).

Memperincikan kes kematian hari ini, Dr Noor Hisham berkata ia melibatkan masing-masing dua kes di Selangor dan Johor serta masing-masing satu kes di Melaka, Sarawak dan Kuala Lumpur.

Beliau juga berkata 11 kluster baharu dikesan hari ini dengan lapan daripadanya berkaitan tempat kerja serta masing-masing satu kluster komuniti, kluster keagamaan dan kluster pusat tahanan.

Kluster tempat kerja melibatkan kluster Jalan Timah Dua, Persiaran Tanjung dan Jalan Canggih di Johor, kluster Tapak Bina Bali Residence di Melaka, Kampung Bombalai dan Kilang Setapak di Sabah, Tapak Bina Jalan Wangsa di Kuala Lumpur dan kluster Tapak Bina Lebuh Puteri di Selangor.

Kluster Kampung Guntong Luar dan kluster Bukit Biah di Terengganu pula membabitkan kluster komuniti dan keagamaan manakala kluster Tembok Sungai Udang di Melaka membabitkan kluster pusat tahanan.

– BERNAMA

 


Pengarang :