Selangorkini
AGENDA NASIONAL

Covid-19: Mara jamin keselamatan pelajar MRSM

KUALA LUMPUR, 22 JAN: Ibu bapa pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di seluruh negara tidak perlu bimbang akan keselamatan anak mereka berikutan seorang calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di MRSM Lipis disahkan positif Covid-19 baru-baru ini.

Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara) Datuk Azizah Mohd Dun berkata pihaknya telah mengambil langkah-langkah pencegahan serta sentiasa berhubung dengan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) berkaitan permasalahan kesihatan pelajar.

“Nasihat saya kepada semua ibu bapa, mereka boleh menghubungi pihak pengurusan maktab jika timbul sebarang kebimbangan tentang anak-anak mereka.

“Pihak MARA peka dan sentiasa mengambil berat mengenai hal ehwal pelajar yang sedang berada di maktab sepanjang dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Pada 20 Jan lepas, Majlis Keselamatan Negara (MKN) Pahang memaklumkan seramai 144 pelajar MRSM Lipis dikuarantin selepas seorang pelajarnya positif Covid-19 pada Selasa (19 Jan).

Daripada jumlah itu, seramai 142 pelajar perempuan menjalani kuarantin di Institut Latihan Perumahan dan Kerajaan tempatan (I-KPKT) Bukit Tinggi manakala dua pelajar lelaki di asrama berkenaan, dan tiga daripada pelajar yang dikuarantin di I-KPKT disahkan positif Covid-19 dan dihantar ke hospital.

Azizah, yang juga Ahli Parlimen Beaufort berkata ketika ini, Mara telah membenarkan seramai 8,106 pelajar MRSM Tingkatan 5 (tahun 2020) untuk kembali ke asrama pada 9 Jan lepas untuk mengikuti pembelajaran secara bersemuka bagi menduduki peperiksaan SPM.

Pelajar daripada Tingkatan 2 hingga Tingkatan 5 (tahun 2021) yang lain hanya menjalani proses pembelajaran secara dalam talian di rumah masing-masing (PdPR) mengikut jadual yang ditetapkan dan tarikh untuk mereka kembali ke maktab untuk mengikuti pengajian secara bersemuka akan dimaklumkan kelak.

“Pelajar ini perlu mengikuti tatacara operasi piawai (SOP) yang telah ditetapkan MKN sebelum pulang ke MRSM manakala ibu bapa yang menghantar anak hanya diberi masa 30 minit dengan hanya seorang penjaga dibenarkan turun untuk mengangkat barang dan tidak dibenarkan untuk memasuki asrama.

“Sepanjang berada di maktab pula, pelajar perlu mengikuti SOP asas meliputi saringan suhu bagi mengenal pasti pelajar yang bergejala sebelum bermula Pembelajaran dan Pengajaran di maktab oleh guru yang bertugas.

“Maktab juga mengikuti garis panduan pembukaan sekolah dengan SOP yang ketat diamalkan untuk semua MRSM seperti pemakaian pelitup muka, penjarakan fizikal, mencuci tangan dengan air dan sabun atau pensanitasi,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :