Orang ramai menjalani Saringan Komuniti Covid-19 secara percuma anjuran Kerajaan Negeri di Taman Sri Muda, Shah Alam pada 7 Januari 2021. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Covid-19: Saringan ke atas warga asing guna aturan ketat

SHAH ALAM, 8 JAN: Peraturan ketat dilakukan ketika saringan Covid-19 membabitkan warga asing melalui penggunaan kit ujian pantas antigen (RTK-Ag).

Pengurus Klinik Selcare Sdn Bhd berkata langkah itu bagi memudahkan pengesanan individu terbabit sekiranya disahkan positif.

“Kaedah RTK-Ag sememangnya mudah dan pantas terutama melibatkan rakyat tempatan untuk mendapatkan keputusan dengan cepat namun bagi warga asing dua kaedah dilaksanakan iaitu sama ada dibenar pulang selepas proses calitan atau menunggu di ruang khas.

“Kita hanya membenarkan mereka pulang jika keputusan negatif dan individu didapati positif akan terus ditahan oleh pejabat kesihatan daerah (PKD) untuk dikuarantin,” kata Mohd Noor Md Nasir kepada media ketika program Saringan Komuniti Covid-19 percuma anjuran Kerajaan Negeri di perkarangan Dewan Azalea, Seksyen 25 di sini semalam.

Pada masa sama, Mohd Noor berkata semua proses pengambilan sampel Covid-19 warga asing menerusi program saringan komuniti bersasar dijalankan agensi Kerajaan Negeri itu setakat ini berjalan lancar.

“Sebelum saringan, kita akan dapatkan maklumat majikan di tempat kerja mereka supaya mudah untuk dihubungi semula jika timbul perkara tidak diingini.

“Ini antara langkah untuk menangani isu tempat tinggal warga asing memandangkan ada sebahagian daripada mereka tinggal di rumah kongsi,” katanya.


Pengarang :