Orang ramai melakukan ujian calitan dalam program Saringan Komuniti Covid-19 anjuran Kerajaan Selangor di Taman Sri Muda, Shah Alam pada 7 Januari 2021. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Covid-19: Saringan RTK-Ag sedia diperluas kepada sektor lain

SHAH ALAM, 8 JAN: Saringan Covid-19 menggunakan kit ujian pantas antigen (RTK-Ag) sedia diperluaskan kepada sektor korporat termasuk pekerja asing dalam industri pembinaan dan pembuatan di Selangor.

Pengurus Klinik Selcare Sdn Bhd berkata saringan bersasar wajar dipergiat berikutan banyak kes baharu dikesan dalam kalangan warga asing sehingga menular ke kawasan komuniti.

“Perkara ini akan dibincangkan bersama Kerajaan Negeri. Jika inisiatif ini diterima untuk jalankan saringan ke sektor berkaitan, kita boleh bantu sebagai panel.

“Kita sasar golongan tersebut memandangkan pematuhan tatacara operasi piawai (SOP) yang masih lemah. Maka petugas kesihatan Klinik Selcare akan pergi ke setiap kilang untuk buat saringan,” kata Mohd Noor Md Nasir.

Beliau berkata demikian kepada media ketika program Saringan Komuniti Covid-19 percuma anjuran Kerajaan Negeri di perkarangan Dewan Azalea, Seksyen 25 di sini semalam.

Mohd Noor menambah klinik anak syarikat Kerajaan Negeri, Selgate Healthcare Sdn Bhd itu mungkin akan mengenakan caj minimum kepada syarikat berkaitan sekiranya cadangan tersebut dipersetujui.

“Namun, segala keputusan bergantung pada Kerajaan Negeri. Kita hanya mencadangkan malah saringan kepada pekerja sektor berkenaan pernah dibuat tetapi secara berbayar,” katanya.


Pengarang :