Petugas kesihatan meletakkan sampel saringan Covid-19 ke panel khas ‘buffer tube’ yang digunakan untuk mengesan jangkitan virus Covid-19 dengan pantas menggunakan mesin analisa Standard F200 SD Biosensor ketika program saringan diadakan di Dewan Orang Ramai Meru 3, Klang pada 2 Disember 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Covid-19: Selangor rekod 557 kes, majoriti hasil saringan

SHAH ALAM, 11 JAN: Selangor merekodkan 557 kes baharu Covid-19 hari ini atau 25 peratus daripada keseluruhan kes dalam negara.

Ketua pengarah kesihatan berkata saringan kontak rapat menyumbang 283 kes, lain-lain saringan (152), penularan kluster (121) dan kes import (satu).

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan satu lagi kluster baharu dikesan di Lembah Klang iaitu Kluster Medan Idaman melibatkan Cheras dan Titiwangsa.

“Hasil saringan bersasar di sebuah pasar raya mulai 6 Januari hingga hari ini, seramai 10 daripada 84 individu disaring dikesan positif,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Malaysia merekodkan sebanyak 2,231 kes baharu Covid-19 hari ini menjadikan jumlah keseluruhan jangkitan 138,224 kes.

Seramai 1,006 pesakit berjaya sembuh menjadikan bilangan kes pulih sebanyak 109,115 kes.


Pengarang :